Kerangka Insentif Baharu pelaburan negara dilaksanakan bermula 1 Mac 2026 - MITI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerangka Insentif Baharu pelaburan negara dilaksanakan bermula 1 Mac 2026 - MITI

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Jan - Kerajaan akan melaksanakan Kerangka Insentif Baharu (NIP) bermula 1 Mac 2026 bagi sektor perkilangan sebelum diperluaskan ke sektor perkhidmatan pada suku kedua tahun 2026.

 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), berkata pelaksanaan kerangka baharu selaras dengan pengumuman Belanjawan 2026 ini menandakan satu anjakan dasar strategik yang signifikan dalam landskap insentif pelaburan negara.

 

Katanya, ini bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing, mampan serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global. 

 

"NIF juga turut bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi negara melalui pengaitan pemberian insentif dengan pencapaian hasil yang spesifik sejajar dengan keutamaan strategik negara," kata kenyataan itu.

 

Tambahnya, NIF mengguna pakai pendekatan berperingkat (tiered) dan berasaskan hasil (outcomebased) yang selari dengan aspirasi dasar ekonomi dan perindustrian negara. 

 

Pelaksanaan kerangka ini berpandukan dua strategi nasional utama, iaitu Dasar Pelaburan Baharu berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

 

Selaras dengan pelaksanaan NIF, Kerajaan tidak lagi menerima permohonan baharu bagi insentif untuk sektor perkilangan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986 (PIA 1986).

 

Tarikh akhir untuk mengemukakan permohonan insentif di bawah PIA 1986 bagi sektor perkilangan adalah pada 28 Februari 2026 jam 3.00 petang. 

 

"Walau bagaimanapun, syarikat yang telah diluluskan dan sedang menikmati insentif di bawah PIA 1986 tidak akan terjejas dan kelulusan sedia ada akan terus berkuat kuasa mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan," kata kenyataan itu.

 

Bagi memastikan objektif NIF dicapai secara berkesan, Kad Skor NIA (NIA Scorecard) akan digunakan sebagai mekanisme penilaian yang komprehensif untuk mengukur dan mengkuantifikasikan impak serta hasil pelaburan berdasarkan keutamaan nasional yang telah ditetapkan.

 

Jenis Insentif Cukai di bawah NIF

Di bawah NIF, Kerajaan menawarkan dua (2) jenis insentif cukai utama yang bersifat saling eksklusif, di mana pemohon perlu memilih salah satu bagi projek yang layak:

 

(i) Kadar Cukai Khas Istimewa (Special Tax Rate – STR)

 Kadar cukai istimewa bagi tempoh yang ditetapkan.

 

(ii) Elaun Cukai Pelaburan (Investment Tax Allowance – ITA)

 Insentif berasaskan perbelanjaan modal berdasarkan peratusan Perbelanjaan Modal Yang Layak (Qualifying Capital Expenditure – QCE) yang boleh digunakan untuk ditolak daripada pendapatan berkanun.

 

Pemberian insentif di bawah NIF akan ditentukan berdasarkan komitmen syarikat serta penilaian melalui Kad Skor NIA, yang mengambil kira sumbangan pelaburan terhadap penciptaan nilai ekonomi, pembangunan bakat tempatan, pengukuhan rantaian bekalan domestik, pemindahan teknologi serta aspek kemampanan. 

 

Syarikat boleh memohon insentif berdasarkan kategori yang ditetapkan, tertakluk kepada pematuhan kriteria sebagaimana yang diperincikan dalam Garis Panduan Pelaksanaan NIF bagi Sektor Perkilangan.

 

Garis Panduan Pelaksanaan NIF tersebut memperincikan kriteria kelayakan, parameter penilaian di bawah Kad Skor NIA, kategori insentif, serta proses permohonan dan penilaian.

 

Maklumat lanjut berkaitan Garis Panduan Pelaksanaan NIF ini boleh dilayari melalui portal rasmi MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).


Maklumat lanjut berkaitan NIF boleh di layari di https://www.miti.gov.my/NIF 

 

MITI yakin bahawa pelaksanaan Kerangka Insentif Baharu ini akan memperkukuh ekosistem pelaburan negara, menarik pelaburan strategik berkualiti tinggi serta menyokong transformasi struktur ekonomi Malaysia selaras dengan aspirasi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan mampan. 

 

Sehubungan itu, MITI dan MIDA dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF) akan meneruskan sesi libat urus bersama pihak industri, khususnya bagi sektor perkhidmatan, bagi memastikan pelaksanaan NIF dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi impak yang maksimum. - DagangNews.com