KUALA LUMPUR 21 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam keputusan komersial bagi memelihara integriti pasaran, sambil menekankan komitmen kerajaan pimpinannya terhadap ketelusan dan profesionalisme dalam landskap korporat serta ekonomi Malaysia.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan perniagaan seharusnya dibuat berdasarkan merit, kecekapan dan realiti pasaran, bukannya dipengaruhi oleh kepentingan politik.
“Saya tidak campur tangan dalam keputusan komersial, dan tiada seorang pun daripada rakan Kabinet saya seharusnya berbuat demikian.
“Ya, kita menyokong teknologi baharu, inisiatif hijau serta program kebajikan, namun kita tidak akan campur tangan untuk melindungi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu. Keputusan komersial adalah sepenuhnya di tangan anda,” katanya ketika sesi perbincangan pada Forum Ilmu Permodalan Nasional Bhd (PNB) 2025 di sini, hari ini.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah dasar utama bagi memperkukuh pelaburan domestik, termasuk pelaksanaan program Gear-Up, di samping menyusun semula institusi utama seperti PNB dan Khazanah Nasional Bhd agar kembali kepada matlamat teras masing-masing untuk memacu pertumbuhan negara yang mampan.
Beliau turut menekankan kepentingan untuk kekal berpegang kepada aspirasi utama dan mempertingkatkan standard tadbir urus.
Perdana Menteri menambah bahawa walaupun pemantauan kemajuan merupakan sebahagian daripada tanggungjawabnya, usaha gigih serta komitmen tinggi semua pihak dalam melaksanakan reformasi tersebut amatlah dipuji. - BERNAMA








