Kerajaan Selangor kenal pasti tapak 1,700 hektar di Pulau Carey dibangunkan menjadi pelabuhan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan Selangor kenal pasti tapak 1,700 hektar di Pulau Carey dibangunkan menjadi pelabuhan baharu

Pemandangan udara Pulau Carey - Gambar hiasan
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 18 Sept - Kerajaan Negeri Selangor telah mengenal pasti seluas 1,699.68 hektar (4,200 ekar) tanah untuk dibangunkan sebagai pelabuhan ketiga di Pulau Carey, Kuala Langat.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata keluasan tersebut merangkumi 1,011.71 hektar tanah dasar laut yang diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta 687.96 hektar (1,700 ekar) tanah pesisir pantai milik Yayasan Selangor.

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata, perincian projek akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan sebelum kertas cadangan dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan untuk memilih pemaju.

 

 

DagangNews

 


Menurut Amirudin, kerajaan negeri akan memainkan peranan aktif dalam pembangunan dan pengurusan kemajuan Pelabuhan Pulau Carey, yang dilihat sebagai pemangkin utama pertumbuhan Selangor untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

 

“Inisiatif ini akan menyediakan sumber hasil jangka panjang yang mampan kepada negeri. Selain itu, ia menawarkan potensi baharu kepada PKNS sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi negeri.

 

“Ia juga akan memperkukuh kedudukan kewangan Yayasan Selangor, sekali gus membolehkan yayasan meneruskan misinya dalam membiayai institusi pendidikan dan negeri,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara PKNS dan Yayasan Selangor pada Rabu.

 

Amirudin menjelaskan, PKNS akan bertindak sebagai wakil kerajaan negeri untuk memegang saham serta hak milik ke atas pelabuhan baharu itu.

 

“Perbezaan pelabuhan ketiga dengan Pelabuhan Klang adalah kita akan mempunyai penglibatan aktif dari segi pembinaan dan juga pengoperasiannya,” ujarnya.

 

MOU pada Rabu itu memuktamadkan kerjasama antara PKNS dan Yayasan Selangor bagi merancang pembangunan baharu yang mampan serta berdaya saing di tanah milik Yayasan Selangor di Pulau Carey untuk cadangan pelabuhan ketiga tersebut.

 

 

 

 

 

 

 

 

Inisiatif strategik itu turut merangkumi penilaian model perniagaan usaha sama yang sesuai dan berdaya maju, selain merangka terma pembangunan bagi fasa seterusnya.

 

Pada majlis berkenaan, PKNS diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mahmud Abbas, manakala Yayasan Selangor diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Nazirin Shah Raja Mohamad- DagangNews.com