KUALA LUMPUR 13 Nov - Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memfailkan rayuan terhadap beberapa aspek dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak hasil 40% Sabah.
Menurut Perdana Menteri, rayuan itu bukan terhadap pemberian khas 40% tersebut, sebaliknya terhadap alasan penghakiman mahkamah yang mengandungi kenyataan melangkaui bidang kuasa undang-undang.
“Isu pertama ialah tidak ada rayuan terhadap perkara pemberian khas itu. Apa yang kita rayu ialah kesilapan dalam penghakiman,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, penghakiman bertulis itu memberi gambaran seolah-olah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah sejak tahun 1974 telah bertindak secara tidak sah dan melanggar kewajipan perlembagaan.
“Ini bermaksud bahawa dari zaman Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir hingga kini, kedua-dua kerajaan dikatakan telah bertindak secara tidak sah,” katanya.
Anwar menambah keputusan itu juga seolah-olah menyatakan mereka bertindak tidak munasabah, salah dari segi prosedur serta mengabaikan tanggungjawab terhadap Sabah.
“Kami percaya kenyataan ini tidak tepat dan oleh itu mesti dirayu,” katanya.
Anwar turut menggesa ahli-ahli Parlimen meneliti dengan teliti penghakiman bertulis tersebut.
Beliau berkata, Peguam Negara telah menasihati Jemaah Menteri berhubung kelemahan dalam alasan penghakiman itu.
“Ini termasuk dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan dan negeri telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan sejak 1974.
“Selain itu, alasan penghakiman juga mendakwa bahawa semakan selepas 2021 adalah tidak sah, tidak munasabah, cacat dari segi prosedur dan tidak seimbang,” tambah Anwar.
Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan akan memfailkan rayuan terhadap aspek-aspek berkenaan dalam penghakiman tersebut.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kegagalan Kerajaan Persekutuan membayar 40% daripada hasil bersihnya kepada Sabah adalah tidak sah di sisi undang-undang.
Beliau berkata, kewajipan itu termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah turut memerintahkan semakan semula terhadap hak 40% tersebut bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.
Mahkamah menetapkan bahawa kedua-dua kerajaan perlu menyelesaikan semakan itu dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari. - DagangNews.com








