KUALA LUMPUR 22 Jan – Kerajaan sedang mempertimbangkan langkah untuk mengetatkan penglibatan jenama makanan dan minuman (F&B) asing di Malaysia bagi melindungi perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) tempatan daripada persaingan yang semakin agresif.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, antara langkah yang dikaji adalah menurunkan had keluasan premis perniagaan yang akan mencetuskan penilaian impak wajib ke atas perniagaan tempatan.
“Kami sedar terdapat jurang dalam penguatkuasaan garis panduan sedia ada yang dirangka pada 2020. Kementerian sedang menyemak semula dan akan memperkenalkan beberapa penambahbaikan,” kata Fuziah dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang), mengenai langkah kerajaan untuk mengekang pengembangan agresif jenama asing seperti Mixue, Chagee dan Auntea Jenny, serta isu penetapan harga di platform e-dagang yang mengancam kelangsungan PKS tempatan.
Dengan mengambil Mixue sebagai contoh, Fuziah berkata rangkaian minuman dari China itu memohon memasuki pasaran Malaysia pada 2024 dengan satu permohonan untuk 547 cawangan, kebanyakannya berkeluasan kurang 1,000 meter persegi, dan oleh itu tidak tertakluk kepada penilaian impak mengikut garis panduan sedia ada.
“Berdasarkan garis panduan 2020, permohonan itu diluluskan. Namun, kementerian telah mengetatkan kawalan terhadap kelulusan premis baharu dan pengembangan cawangan sejak 2025,” jelasnya.
Perkhidmatan F&B dikategorikan sebagai kedai khusus di bawah sektor perdagangan pengedaran, yang dikawal oleh Garis Panduan Penglibatan Asing dalam Perkhidmatan Perdagangan Pengedaran 2020.
Kini, premis asing hanya diwajibkan membuat penilaian impak jika beroperasi di bangunan berdiri sendiri atau mempunyai keluasan sekurang-kurangnya 5,000 meter persegi.
Selain itu, penglibatan asing juga memerlukan penubuhan syarikat tempatan mengikut Akta Syarikat 2016 dan modal berbayar minimum RM1 juta bagi setiap premis.
Mengenai pengawalseliaan e-dagang, Fuziah berkata kementerian merancang mengemukakan rang undang-undang baru pada persidangan Parlimen akan datang bagi menangani aduan pengguna yang meningkat dan mewujudkan ekosistem e-dagang yang lebih adil dan mampan.
“Kami sedang menilai sama ada memperkenalkan undang-undang baharu atau meminda Akta Perdagangan Elektronik 2006. Beberapa pindaan diperlukan untuk memastikan ekosistem lebih adil — bukan sahaja untuk perniagaan dan pengguna, malah untuk ahli gabungan, kerana ekosistem ini melibatkan pelbagai elemen,” katanya. - DagangNews.com








