KUALA LUMPUR 25 Ogos – Kerajaan MADANI berjaya menaiktaraf 1,177 sekolah daif di seluruh negara dalam tempoh dua tahun, satu pencapaian yang tidak pernah dilakukan pentadbiran sebelum ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, setakat Jun lalu, kerajaan telah membina 102 sekolah baharu serta menaik taraf 1,177 sekolah di seluruh negara dengan kos berjumlah RM12.5 bilion.
“Daripada jumlah itu, 749 projek telah siap, manakala selebihnya sedang dilaksanakan atau dalam perancangan,” katanya ketika membentangkan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara hari ini.
Anwar menegaskan, pencapaian ini membuktikan komitmen kerajaan MADANI walaupun berdepan pelbagai kritikan.
“Ini soal fakta, bukan serangan kosong. Jangan abaikan angka ini. Belum pernah sebelum ini pelaburan untuk sekolah mencapai tahap sebegini,” tegasnya.
Beliau berkata, pembangunan pendidikan kekal menjadi keutamaan utama kerajaan, khususnya di kawasan kurang mendapat perhatian di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, termasuk sekolah luar bandar dan sekolah keperluan khas yang memerlukan tumpuan berterusan.
Tambah beliau, fokus kerajaan tidak hanya tertumpu kepada teknologi, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI), tetapi juga kepada usaha memperkukuh profesionalisme guru, latihan kemahiran serta pendidikan berteraskan manusia yang mengekalkan nilai budaya teras.
“Ini tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan agar kemajuan ini dirasai semua lapisan masyarakat,” jelasnya.
Di bawah RMK13, sektor pendidikan akan menerima peruntukan terbesar perbelanjaan persekutuan dengan sekurang-kurangnya RM67 bilion diperuntukkan bagi pembinaan dan naik taraf sekolah, prasekolah, fasiliti pelajar keperluan khas, tadika Kemas serta universiti awam.
Anwar turut mengumumkan bahawa pembinaan sekolah akan dijadikan syarat bagi projek perumahan berskala besar pada masa depan, selain hampir 1,200 sekolah daif telah pun dinaik taraf setakat tahun 2025. - DagangNews.com








