KUALA LUMPUR 28 Ogos - Kerajaan berjanji memperketat pengawasan terhadap projek Lebuhraya Pan Borneo (PBH) di Sabah, dengan kontrak syarikat yang tidak berprestasi akan ditamatkan bagi memastikan projek berjalan dengan lebih lancar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat syarikat yang telah diberi lanjutan kontrak dua atau tiga kali tetapi masih gagal menyiapkan kerja mereka mengikut jadual.
“Terdapat yang kontraknya dilanjutkan, ada dua kali, ada tiga kali. Saya telah tamatkan supaya kita boleh buka tender semula dan, insya-Allah, berjaya memastikan projek Pan Borneo bergerak lebih pantas.
"Saya yakin dengan pendekatan tender yang lebih telus ini, projek boleh berjalan lebih baik. Saya terima kritikan (berhubung kelewatan di Sabah).
"Tidak ada sebab mengapa projek yang sama boleh siap 98% di Sarawak, tetapi kegagalan kebanyakannya berlaku di Sabah. Sebab itu pendekatan mesti lebih tegas, berani dan telus,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Perikatan Nasional [PN]-Beluran) pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjelaskan syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri sebelum ini, yang mengehadkan kontrak kepada syarikat tempatan, turut menyumbang kepada kelewatan.
“Saya kata mana-mana syarikat pun boleh buat, termasuk syarikat besar, dengan syarat projek kecil diagihkan kepada syarikat negeri. (Kelewatan di) Sabah, kita warisi (sistem tender ini), ini bukan perkara baru.
“Sejak tujuh, lapan tahun lalu, apabila projek ini diluluskan, negeri mengetatkan syarat. Ia mesti libatkan syarikat negeri, dan kemudian pelaksanaannya sangat lemah dan banyak terpaksa dibatalkan,” jelasnya. - DagangNews.com








