KUALA LUMPUR 23 Mei — Terdapat sekurang-kurangnya dua firma penyelidikan menurunkan taraf YTL Power International Berhad berikutan keputusan yang dicatatkan lebih lemah daripada jangkaan.
Mereka berkata, bagi sembilan bulan terkumpul yang berakhir pada 31 Mac 2025 (9MFY25) hasil kumpulan menyumbang 71 peratus daripada anggaran setahun penuh konsensus, selepas pemacu utamanya, PowerSeraya, menunjukkan keputusan lebih lemah.
Susulan prestasi tersebut, CGS International dan TA Securities menurunkan penarafan mereka kepada "pegang", serta merendahkan ramalan pendapatan bagi mencerminkan volum lebih lemah daripada pengeluar elektrik berpangkalan di Singapura itu.
CGS International turut mengurangkan anggaran keuntungan selepas cukai YTL Power pada FY25 sebanyak 3 peratus bagi menggambarkan situasi volum lebih lemah disumbangkan PowerSeraya dan menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM3.75 sesaham.
Sementara itu, TA Securities mengurangkan unjuran pendapatan kumpulan tersebut sebanyak enam peratus untuk FY25, diikuti 13 peratus pula untuk FY26 dan seterusnya kira-kira 12 peratus untuk FY27.
"Unjuran disemak kami turut mengambil kira jangkaan lebih konservatif untuk PowerSeraya memandangkan potensi kesan ketidaktentuan perdagangan luar terhadap ekonomi Singapura," katanya yang juga menurunkan TP kepada RM4.02 daripada RM5.77 sebelumnya.
Dalam pada itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan keuntungan S$120 juta (RM395.7 juta) selepas cukai dan kepentingan minoriti yang dilaporkan untuk suku terbaharu daripada PowerSeraya akan berterusan pada tempoh suku akan datang.
Turbin gas kitaran gabungan (CCGT) 600 megawatt (MW) dijangka mula beroperasi pada penghujung 2028 manakala projek solar berskala besar (LSS) 500MW yang dirancang YTL Power kekal bergantung pada kadar pengambilan pusat data di Johor.
HLIB Research mengekalkan saranan "beli" dengan TP tidak berubah sebanyak RM5.60, atau RM4.16 selepas pencairan daripada waran bonus, berdasarkan penilaian YTL Power sebagai menarik, dan diniagakan pada harga hadapan pendapatan sembilan hingga 10 kali ganda.
Sementara itu, CIMB Securities berkata, pemangkin penarafan semula utama bagi saham itu akan berlaku tepat pada masa bagi perniagaan pusat data AI baharunya dan menyatakan jumlah kapasiti pusat data kumpulan sebanyak 188MW telah diambil sepenuhnya.
Firma penyelidikan tersebut berkata, dengan jumlah hasil kontrak untuk perniagaan itu mencecah AS$2.5 bilion (RM10.6 bilion) sepanjang tempoh tender, ia meliputi kapasiti 188MW termasuk pusat data AI 20MW, dengan hasil dijangka masuk pada 1QFY2026.
Selain itu, pusat data 80MW akan dipajak dalam dua fasa menjelang akhir 2025 dan suku kedua 2026 kepada penyewa yang turut mengambil baki 16MW di lokasi bersama pertama, dengan 32MW awal telah dipajak kepada Sea Ltd beribu pejabat di Singapura.
Pusat data 40MW berasingan yang disewakan kepada firma AS dijadualkan siap antara Ogos dan September 2025 manakala bagi unit air dan pembetungan berpangkalan di Britain, ia menjangkakan peningkatan pada 4QFY25, dipacu oleh kenaikan tarif air tambahan.
CIMB Securities mengekalkan saranan "beli" tetapi menurunkan TP untuk YTL Power kepada RM4 sesaham, dengan mengambil kira isu pencairan daripada waran bonus.
Terdapat 14 firma penyelidikan pada masa ini yang membuat liputan ke atas YTL Power, dengan 11 menyarankan "beli", dua pula sebagai "pegang" dan satu menyatakan "jual".
Purata TP berada pada RM4.54, menurut Bloomberg, menunjukkan potensi peningkatan sehingga 29.7 peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang berdasarkan kepada harga saham terkini. - DagangNews.com








