Kenanga naikkan saham PETRONAS Chemicals kepada 'outperform' susulan perkembangan di China dan Korea Selatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga naikkan saham PETRONAS Chemicals kepada 'outperform' susulan perkembangan di China dan Korea Selatan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 Ogos – PETRONAS Chemicals Group Bhd kembali melonjak pada Khamis apabila pelabur meningkatkan pegangan susulan harapan berkurangnya lebihan kapasiti dalam industri petrokimia.

 

Sentimen positif pasaran dipacu laporan berita mengenai langkah yang dirancang di China dan Korea Selatan untuk mengurangkan kapasiti serta pengeluaran. 

 

Menurut Kenanga Research, kitaran lalu menunjukkan bahawa walaupun pengurangan jangka pendek kadar operasi global boleh memberi kesan besar terhadap harga produk.

 

“Jika usaha penstrukturan semula di Korea Selatan dan China dilaksanakan, kami percaya harga petrokimia berpotensi pulih secara bermakna menjelang 2026,” jelas firma itu daam nota penyelidikan hari ini.

 

Sehubungan itu, Kenanga menaik taraf penilaian PETRONAS Chemicals kepada ‘outperform’ daripada ‘market perform’ dan meningkatkan harga sasaran kepada RM5.30 daripada RM3.36. 

 

Sehari sebelumnya, Nomura turut menaik taraf saranan saham syarikat kepada ‘buy’ daripada ‘neutral’, dengan harga sasaran baharu RM5.15 daripada RM4.01.

 

Sehingga rehat tengah hari, saham PETRONAS Chemicals melonjak 52 sen atau 12.44% kepada RM4.70, dengan aktiviti dagangan meningkat sehingga 34 juta saham bertukar tangan. 

 

Secara keseluruhan, saham syarikat telah naik lebih 25% dalam hanya dua sesi dagangan – satu pemulihan mendadak selepas kejatuhan 11% minggu lalu berikutan pengumuman kerugian suku tahunan tertinggi.

 

Menurut Kenanga, langkah mengehadkan bekalan berkesan yang dianggarkan mampu mengurangkan 3%-4% kapasiti global secara sementara boleh menandakan permulaan kitaran kenaikan baharu, terutama dengan ketiadaan tambahan kapasiti besar dalam masa terdekat.

 

Pada Rabu, Bloomberg melaporkan China mungkin akan menaik taraf dan menukar fungsi loji petrokimia berusia lebih 20 tahun, yang mewakili 40% daripada kapasiti keseluruhan negara itu – langkah yang berpotensi mencetus perubahan struktur dalam dinamik bekalan global.

 

Sementara itu, Reuters melaporkan 10 syarikat petrokimia Korea Selatan telah bersetuju untuk menyusun semula operasi mereka, termasuk pengurangan besar kapasiti ‘naphtha-cracking’ sebanyak 2.7 juta hingga 3.7 juta tan.  - DagangNews.com