KUALA LUMPUR 3 Julai - Kenanga Research memberikan nilai wajar kepada Enproserve Group Bhd pada 30 sen sesaham.
Penilaian tanpa penarafan itu adalah 25% lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 24 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 18 Julai 2025.
Sasaran tersebut adalah berdasarkan 10 kali pendapatan hadapan syarikat, lebih tinggi berbanding penilaian rakan setaranya — satu premium yang menurut firma penyelidikan itu wajar diberikan kepada Enproserve disebabkan potensi peningkatan kitaran menaik pendapatan.
Katanya, syarikat itu mempunyai pelbagai kontrak jangka panjang yang merangkumi sebahagian besar fasiliti di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), yang berkemungkinan menyaksikan peningkatan ketara dalam kerja-kerja persediaan pada tahun hadapan bagi menghadapi penyelenggaraan loji sebenar pada 2027.
“Kami merasakan syarikat ini masih berada pada peringkat awal dalam memasuki kitaran peningkatan pendapatannya, disebabkan oleh jangkaan kerja-kerja penyelenggaraan loji Pengerang dan peningkatan permintaan terhadap penyelenggaraan loji,” katanya dalam satu nota kajian.
Permohonan untuk menyertai IPO akan ditutup pada 8 Julai 2025. IPO itu merangkumi 315 juta saham pada harga 24 sen sesaham, terdiri daripada 210 juta saham baharu dan 105 juta saham sedia ada, mewakili 30% daripada jumlah keseluruhan saham selepas penyenaraian.
Daripada jumlah kutipan, sejumlah RM33.7 juta atau 66.9% akan digunakan untuk perbelanjaan modal dan operasi, termasuk pembelian jentera berat dan peningkatan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
Dana itu juga akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan baharu bagi mengendalikan projek yang lebih besar selain ia juga akan digunakan bagi mengembangkan perniagaan penyewaan jentera dengan menambah peralatan pengangkut dan membina depoh kren baharu.
KAF Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan dan penaja jamin tunggal bagi penyenaraian berkenaan. - DagangNews.com








