Kenaikan sewa runcit dijangka sokong operasi CapitaLand FY26, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan sewa runcit dijangka sokong operasi CapitaLand FY26, kata Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Dis - CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) menjangkakan prestasi operasi yang stabil, disokong oleh kenaikan sewaan runcit pada kadar pertengahan hingga tinggi satu digit sehingga FY26, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, inisiatif penambahbaikan aset runcit (AEI) serta penggubahan semula penyewa dijangka terus meningkatkan kadar penghunian dan trafik pembeli.

 

"Bagi segmen perindustrian pula, pemacu permintaan seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JSSEZ) serta penjajaran semula rantaian bekalan global dijangka menyokong momentum penyewaan bagi saluran projek CLMT yang semakin berkembang.

 

"Dalam jangka panjang, sasaran pengurusan untuk meningkatkan pendedahan perindustrian kepada 20% daripada AUM menjelang 2028 kekal tidak berubah, dengan fokus kepada pasaran Johor, Lembah Klang dan Pulau Pinang, yang dilihat menyokong ketahanan pendapatan serta penilaian CLMT dalam tempoh sederhana," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

CLMT mengumumkan pemerolehan pembelian hadapan melibatkan lima kemudahan perindustrian berspesifikasi tinggi di i-TechValley, Iskandar Puteri, Johor, dengan nilai keseluruhan RM220.8 juta, sekali gus mengukuhkan kepelbagaian portfolionya dalam segmen perindustrian dan logistik.

 

"Bagaimanapun, memandangkan aset-aset tersebut masih dalam fasa pembangunan dan dijangka siap secara berperingkat dari suku pertama 2027 (1Q27) hingga suku pertama 2028 (1Q28), pemerolehan itu tidak memberi kesan segera kepada pendapatan CLMT," kata Maybank IB.

 

Susulan itu, Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan sedia ada serta saranan BELI ke atas CLMT, dengan harga sasaran berasaskan model diskaun dividen (DDM) tidak berubah pada RM0.76 dan hasil bersih FY26E yang menarik sekitar 7.6%.

 

Pemerolehan berkenaan melibatkan lima kilang pegangan bebas, satu tingkat dan berasingan dengan komponen pejabat, yang terletak dalam Kluster Perindustrian dan Logistik Selatan (SiLC) di Iskandar Malaysia. 

 

Aset-aset tersebut diperoleh secara pembelian hadapan daripada anak syarikat AME Elite Consortium.

 

Jumlah keluasan binaan aset itu adalah kira-kira 524,000 kaki persegi, dengan anggaran hasil kasar tahun pertama sekitar 7.3%.

 

Menurut Maybank IB selepas siap sepenuhnya, pendedahan CLMT dalam segmen perindustrian dan logistik dijangka meningkat daripada 7.9% kepada 11.5% daripada jumlah aset di bawah pengurusan (AUM). 

 

Portfolio CLMT juga akan berkembang kepada 14 aset dengan jumlah keluasan binaan gabungan sekitar 1.4 juta kaki persegi.

 

"Dari segi struktur kewangan, nisbah penggearan CLMT dijangka meningkat secara sederhana kepada 42.2%, berbanding 39.8% pada suku ketiga tahun kewangan 2025," katanya. - DagangNews.com