Kenaikan saham sektor teknologi hanya taktikal didorong sentimen, bukan pemulihan mampan - BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan saham sektor teknologi hanya taktikal didorong sentimen, bukan pemulihan mampan - BIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Mei — Kenaikan harga saham dalam sektor teknologi baru-baru ini yang dilihat menggalakkan tetapi hanya bersifat taktikal dengan didorong faktor sentimen, dan bukannya mencerminkan pemulihan struktur secara mampan, kata BIMB Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, pelabur dinasihatkan untuk mengambil keuntungan jika harga dinilai memenuhi sasaran masing-masing namun perlu menggunakan pendekatan tunggu dan lihat untuk potensi kemasukan semula penilaian lebih menarik.


Katanya, separuh kedua pada tahun ini bagaimanapun mungkin memberikan peluang yang lebih baik apabila berlaku kejelasan dasar awam, penstabilan dari segi inventori dan pemulihan kepada permintaan produk teknologi secara tulen menjadi cukup kukuh.


"Proses pemulihan sebahagian daripada isu perang tarif Amerika Syarikat (AS) dan China awal minggu ini meredakan kebimbangan pelabur mengenai kemungkinan terjadi kesesakan dalam rantaian bekalan semikonduktor," katanya dalam satu nota kajian.


Walaupun risiko struktur dijangka masih adalah kekal, firma penyelidikan itu berkata, langkah pemulihan tersebut akan menjadi pemangkin untuk berlaku kenaikan harga saham yang dipacu daripada sentimen merentasi pelbagai kaunter sektor teknologi.


Sehubungan itu, ia menyatakan kemungkinan harga sasaran (TP) sesaham untuk kaunter teknologi yang berkaitan dengan pembuatan sebagai kekal tidak berubah serta masih sama dengan pendirian "neutral" terhadap sektor berkenaan.


BIMB Research mengunjurkan TP untuk Malaysian Pacific Industries Berhad berada pada RM26.80, manakala Dagang Nexchange Berhad pada 52 sen, Inari Amertron Berhad pada RM2.30, dan Unisem (M) Berhad pada RM1.60. - DagangNews.com