Kenaikan hutang negara bukan daripada pinjaman baharu, tegas PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan hutang negara bukan daripada pinjaman baharu, tegas PM Anwar

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa peningkatan jumlah hutang negara kebelakangan ini bukan berpunca daripada pinjaman baharu yang diambil kerajaan Madani, sebaliknya lebih kepada faedah hutang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

 

Beliau menolak dakwaan bahawa kerajaan kini menambah beban hutang, sebaliknya menjelaskan rekod menunjukkan pentadbiran Madani berjaya mengecilkan defisit fiskal serta mengurangkan kadar pinjaman.

 

Membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) di Dewan Negara hari ini, Anwar berkata angka hutang yang lebih besar itu sebahagian besarnya datang daripada pembayaran faedah ke atas pinjaman legasi.

 

“Selagi wujud defisit, jumlah hutang negara akan terus meningkat. Namun persepsi bahawa ini sesuatu yang baharu adalah mengelirukan — sebahagian besar datang daripada obligasi ditinggalkan sebelum kita,” katanya.

 

Menurut beliau, di bawah kerajaan Madani, kadar pinjaman berjaya dikurangkan daripada sekitar RM100 bilion sebelum ini kepada RM90 bilion, RM80 bilion atau bahkan RM70 bilion.

 

“Jumlah hutang keseluruhan tetap meningkat kerana termasuk faedah daripada pinjaman yang kita warisi. Itu yang sedang kita tangani. Jadi, tidak benar untuk mengatakan kerajaan hari ini mencipta hutang baharu,” tegasnya.

 

Anwar turut menegaskan bahawa meskipun angka-angka berhubung hutang sering dimanipulasi pihak tertentu, kerajaan tetap komited terhadap prinsip ketelusan.

 

“Apa juga angka yang dibentangkan sering diputar untuk membentuk naratif tertentu. Namun yang penting adalah bercakap benar dengan adil serta tidak cuai dalam berbahas.

 

“Sebab itu saya menyeru agar perdebatan nasional mengenai isu ini dilakukan secara matang, tenang, telus dan bertanggungjawab — bukan digerakkan oleh emosi atau tuduhan tidak berasas,” katanya. - DagangNews.com