KUALA LUMPUR 9 Julai – Pengasas jenama kosmetik dan usahawan dalam talian yang gemar mempamerkan kemewahan melampau di media sosial kini tidak lagi boleh berasa selesa apabila Polis Kelantan mula memantau golongan itu bagi mengesan kemungkinan wujud aktiviti pengubahan wang haram.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata meskipun setakat ini tiada kaitan dengan kegiatan penipuan dikenal pasti, gaya hidup mewah yang dipertontonkan secara terbuka, termasuk aksi mempamerkan timbunan wang tunai ketika siaran langsung, telah menarik perhatian pihak berkuasa.
Menurut beliau, individu yang dikenal pasti kini berada dalam radar polis dan setiap transaksi serta sumber kekayaan mereka boleh diperiksa sekiranya timbul unsur mencurigakan.
"Mereka kini dalam radar kami. Kami sedang memantau sama ada terdapat elemen pengubahan wang haram. Jika terdapat kesalahan, tindakan akan diambil bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Mana-mana individu yang disiasat perlu mengemukakan bukti lengkap termasuk resit, rekod transaksi dan dokumen berkaitan bagi menjelaskan asal-usul wang serta sumber pendapatan mereka,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, tindakan mempamerkan kemewahan di media sosial sering dijadikan strategi pemasaran bagi membina persepsi kononnya sesuatu perniagaan menjana keuntungan luar biasa, sekali gus menarik minat orang ramai terhadap produk yang dijual.
"Apabila orang melihat seseorang bergaya dengan kemewahan dan mempamerkan timbunan wang tunai, mereka mudah percaya perniagaan itu sangat berjaya dan produknya laris," katanya.
Isu pengasas kosmetik yang menjadi perhatian pihak berkuasa bukan perkara baharu apabila sebelum ini terdapat beberapa kes melibatkan individu dalam bidang berkenaan yang disiasat atas pelbagai kesalahan jenayah.
Antaranya, pada 2020, seorang usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri pernah ditahan polis bersama adiknya dalam operasi berkaitan sindiket pengedaran dadah. Dalam serbuan tersebut, pihak berkuasa merampas dadah jenis syabu seberat lebih 100 kilogram yang dipercayai bernilai jutaan ringgit.
Selain itu, polis sebelum ini turut mendedahkan terdapat kes membabitkan pengasas produk kecantikan dan pempengaruh yang disiasat berkaitan kegiatan pengedaran dadah serta pengubahan wang haram. Siasatan tersebut memberi tumpuan terhadap kemungkinan penggunaan perniagaan atau sumber pendapatan sah sebagai medium untuk menyembunyikan hasil aktiviti haram.
Perkembangan itu menyebabkan pihak berkuasa terus memantau individu yang mempamerkan kekayaan luar biasa di media sosial, terutama apabila gaya hidup mewah tidak selari dengan rekod pendapatan atau aktiviti perniagaan yang diketahui umum. - DagangNews.com








