KUALA LUMPUR 26 Feb — Kemajuan pelaburan Google berjumlah AS$2 bilion (RM7.77 bilion) di Malaysia menunjukkan perkembangan memberangsangkan dan melebihi jangkaan awal, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, perkara itu dimaklumkan selepas mengadakan persidangan video bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet Inc. dan Google, Ruth Porat serta pasukannya pada Khamis.
“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan kekal konsisten dalam memudah cara dan menyokong pelaburan yang telah diumumkan oleh syarikat teknologi multinasional tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pelaburan yang diumumkan pada Mei 2024 itu merangkumi pembangunan dan operasi pusat data pertama Google di Malaysia serta infrastruktur perkhidmatan awan.
Perdana Menteri berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan keyakinan berterusan pelabur global terhadap ekosistem ekonomi digital negara dan selari dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau bagi aliran data selamat, pengkomputeran awan dan inovasi kecerdasan buatan (AI).
Apabila beroperasi kelak, projek itu dijangka menjana impak ekonomi sebanyak AS$3.2 bilion serta mewujudkan kira-kira 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030.
Pada 2024, Google turut mengumumkan komitmen pelaburan keseluruhan berjumlah RM9.4 bilion di Malaysia, termasuk pembangunan rantau Google Cloud bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan di peringkat tempatan dan global.
Selain itu, syarikat berkenaan juga melaksanakan program literasi AI yang menyasarkan pelajar dan pendidik tempatan sebagai sebahagian usaha memperkukuh bakat digital negara. - BERNAMA








