KUALA LUMPUR 26 Mei – Tekanan kos tenaga susulan konflik di Timur Tengah serta gangguan bekalan helium yang penting dalam proses penyejukan wafer tidak akan menjejaskan syarikat semikonduktor seperti Kelington Group Berhad.
RHB Research berkata, perkembangan itu tidak mengubah trajektori pertumbuhan industri cip global memandangkan kekurangan bekalan cip memori terus mempercepatkan pelaburan pembinaan foundri baharu di seluruh dunia.
Dalam persekitaran ini katanya, Kelington dilihat berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat langsung daripada gelombang pelaburan tersebut.
Menurutnya, Kelington merekodkan peningkatan ketara dalam perolehan kontrak baharu apabila setakat 1Q26 mencatat pertumbuhan 42% tahun ke tahun, disokong momentum permintaan yang kukuh dalam sektor berkaitan.
"Pengurusan kumpulan turut menetapkan sasaran perolehan kontrak baharu antara RM1.5 bilion hingga RM2 bilion bagi FY26, meningkat berbanding RM1.25 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
"Momentum pertumbuhan itu turut disokong oleh kejayaan Kelington memperoleh projek sistem pengagihan gas turnkey bernilai AS$105 juta (RM414 juta) daripada foundri pertama di India pada Mac lalu," katanya dalam nota kajian hari ini.
RHB Research berkata, selain itu, beberapa peluang tender berskala besar turut menjadi pemangkin utama pertumbuhan masa hadapan, termasuk projek hook-up di Singapura bernilai melebihi RM400 juta, projek foundri kedua di Jerman yang melebihi RM1 bilion serta projek kontraktor am di Selangor sekitar RM1 bilion.
Buku tender kumpulan kini telah berkembang melebihi RM4 bilion, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan untuk beberapa tahun akan datang.
Dalam masa sama, Kelington turut dijangka mula mencatatkan sumbangan pendapatan daripada segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) pada FY26, selepas memulakan penglibatan dalam projek bio-gas asli termampat (Bio-CNG) serta loji elektroliser 2MW bagi pengeluaran hidrogen hijau.
Menurutnya, perkembangan tersebut turut membuka potensi aliran pendapatan berulang jangka panjang bagi kumpulan menerusi usaha niaga bekalan gas industri di tapak yang sedang dirundingkan.
Oleh itu RHB Research mengekalkan saranan BELI terhadap saham syarikat itu dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM6.80 daripada RM6.50 sebelum ini, sekali gus menawarkan potensi kenaikan sekitar 35% selain hasil dividen kira-kira 4%. - DagangNews.com








