Kelebihan Malaysia bantu Hartalega berdepan lambakan stok global - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelebihan Malaysia bantu Hartalega berdepan lambakan stok global - Phillip Capital

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 Jan  - Kepelbagaian rantaian bekalan dan kelebihan Malaysia sebagai destinasi sumber pilihan membantu Hartalega Holdings Bhd berdepan cabaran kemunculan bekalan sarung tangan daripada syarikat China di Indonesia, kata Phillip Capital.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendedahan Hartalega kepada lambakan bekalan global adalah lebih rendah kerana pelanggan terus memilih Malaysia sebagai destinasi penyumberan pilihan.

 

Sehubungan itu, Phillip Capital mengekalkan saranan PEGANG terhadap Hartalega, namun menurunkan harga sasaran 12 bulan kepada RM0.89 daripada RM1.04.

 

"Semakan itu dibuat selepas menurunkan gandaan harga kepada nilai buku (P/BV) kepada 0.6 kali, iaitu kira-kira 1.5 sisihan piawai di bawah purata sejarah tiga tahun," katanya dalam nota penyelidikan hari ini

 

Menurut Phillip Capital, Hartalega bercadang untuk mengoperasikan semula Loji 3 dan Loji 4, masing-masing berkapasiti 4.7 bilion unit setahun, apabila keadaan pasaran global sarung tangan getah beransur-ansur kembali seimbang.

 

Langkah itu sejajar dengan pemulihan berperingkat permintaan, khususnya dari Amerika Syarikat, walaupun persekitaran operasi kekal mencabar akibat tekanan harga dan pengukuhan nilai ringgit.

 

Bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26), pendapatan Hartalega dijangka kekal secara umumnya mendatar, dengan peningkatan kadar penggunaan loji dan jumlah jualan diimbangi oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

 

Jumlah jualan dijangka meningkat secara sederhana kepada 6.3 bilion unit pada 3QFY26, naik 5% secara suku ke suku (QoQ), didorong oleh aktiviti pengisian semula stok di pasaran AS. Pada 2QFY26, jumlah jualan mencatatkan 6.0 bilion unit, meningkat 1.3% QoQ.

 

Dari segi operasi, kadar penggunaan loji diunjurkan meningkat kepada kira-kira 70% pada 3QFY26 berbanding 68% pada suku sebelumnya, namun masih lebih rendah berbanding 86% yang dicatatkan pada 3QFY25.

 

Harga jualan purata (ASP) pula dijangka kekal stabil dalam julat AS$20 hingga AS$21 bagi setiap 1,000 unit, walaupun kesan pengukuhan ringgit sekitar 2% QoQ berkemungkinan mengehadkan peningkatan pendapatan.

 

Sementara itu, kos bahan mentah dijangka kekal stabil pada 2026, memberikan sedikit kelegaan kepada margin.

 

Bahan mentah dan gas asli kekal sebagai pemacu kos utama Hartalega, merangkumi kira-kira 60% daripada jumlah kos pengeluaran. Pada suku keempat 2025, harga lateks nitril susut 10.8% QoQ kepada AS$0.89 sekilogram, manakala harga getah asli meningkat 2.9% QoQ kepada AS$1.42 sekilogram berikutan gangguan cuaca. - DagangNews.com