KUALA LUMPUR 26 Mei — Isu kehilangan ketara bahagian pasaran dalam segmen komponen frekuensi radio (RF) bagi kitaran pengeluaran iPhone 17 terus memberi tekanan kepada Inari Amertron Berhad.
Menurut penganalisis, keuntungan syarikat merosot sekitar 25% bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2026 (9MFY26), namun mereka percaya situasi negatif itu hanya bersifat sementara waktu.
Antaranya Public Investment Bank yang mengekalkan saranan 'neutral' dan harga sasaran (TP) RM1.86, manakala TA Securities mengesyorkan 'pegang' dengan TP kepada RM2.07 daripada RM1.83 sebelum ini.
Dalam pada itu, analisis PublicInvest mendapati, keuntungan teras Inari bagi 9MFY26 merosot 25.1% kepada RM147.5 juta disebabkan penurunan jualan segmen RF sebanyak 23.2% tahun ke tahun (YoY).
"Keadaan ini susulan kehilangan bahagian pasaran dalam soket RF jalur pertengahan dan rendah untuk kitaran iPhone 17, yang menyebabkan kadar penggunaan kapasiti pemasangan lebih rendah," ujarnya.
Firma penyelidikan tersebut berkata, prestasi sepanjang sembilan bulan berkenaan namun menepati jangkaan pasaran kerana mewakili 76.1% daripada unjuran keuntungan penuh tahun kewangan semasa.
Bagi suku ketiga FY26 pula ujar PublicInvest, pendapatan Inari turut susut 13.8% kepada RM265.7 juta berikutan jumlah tempahan yang semakin kurang daripada kebanyakan segmen perniagaan teras.
Segmen RF yang menyumbang 56% daripada hasil keseluruhan merekodkan penyusutan 26.8% kepada RM148.8 juta, manakala segmen generik dan optoelektronik masing-masing mencatat 37.8% dan 7.1%.
"Kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) yang jatuh 8.8% berbanding ringgit sepanjang tempoh setahun turut memberi kesan kepada prestasi kerana lebih 90% hasil dijana dalam mata wang itu," tambahnya.

Sementara itu, TA Securities menyifatkan keuntungan teras Inari bagi 9MFY26 sebanyak RM147.7 juta sebagai berada di bawah jangkaan firma itu, tetapi masih lagi selari dengan konsensus pasaran.
Sehubungan itu, firma berkenaan turut menurunkan unjuran pendapatan FY25 hingga FY27 antara 1.9% hingga 12.1% selepas mengambil kira jumlah tempahan RF yang lebih rendah daripada jangkaan asal.
Bagaimanapun, ia menegaskan yang kedudukan kewangan kumpulan tersebut sebenarnya adalah kekal kukuh dengan jumlah tunai bersih mencecah sebanyak RM2.18 bilion setakat akhir suku ketiga FY26.
"Inari mengumumkan dividen interim ketiga 1 sen sesaham, menjadikan jumlah pulangan tahun semasa kepada 3.3 sen sesaham berbanding 4.3 sen dalam tempoh sama tahun lalu," kata TA Securities.
Kedua-dua firma itu berpandangan prospek jangka sederhana masih positif meskipun berdepan cabaran semasa daripada gangguan rantaian bekalan, kelemahan dolar AS dan permintaan RF yang perlahan.
PublicInvest menjangkakan syarikat itu mampu merampas semula bahagian pasaran RF bagi model iPhone 18 dalam segmen pertengahan hingga premium yang dijadual dilancarkan pada separuh kedua 2026.
TA Securities pula menyifatkan penamatan pengambilalihan Lumileds International pada April 2026 menghapuskan risiko ketidaktentuan pendapatan yang sebelum ini membelenggu sentimen pelabur Inari.
Secara keseluruhan, penganalisis melihat FY26 sebagai tempoh peralihan yang genting, namun pemulihan dijangka bermula FY27 jika dimanfaatkan semula peluang dalam rantaian bekalan RF. - DagangNews.com








