KUALA LUMPUR 22 Mei – Southern Steel Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM17.8 juta bagi suku kedua berakhir 31 Mac 2026, hasil daripada peningkatan kecekapan pengeluaran..
Kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, prestasi positif sepanjang tiga bulan itu turut dipacu kos input yang lebih rendah sekali gus membawa kepada peningkatan margin.
Tambahnya, syarikat berkenaan meraih pendapatan sebanyak RM487 juta dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM21 juta, namun susut 11% berbanding suku sebelumnya iaitu RM546 juta.
"Ini disebabkan faktor bermusim, dengan PBT tersebut masih menunjukkan peningkatan daripada RM19 juta didorong pengurusan kos dan perbelanjaan operasi yang lebih rendah," jelas Southern Steel.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2026, ia mencatatkan pendapatan terkumpul sebanyak RM1.03 bilion dengan PBT berjumlah RM40 juta, dipacu jualan lebih tinggi dan pengoptimuman struktur kos.
Syarikat tersebut turut sudah berjaya menyelesaikan pelupusan kira-kira 45% pegangannya dalam Southern PC Steel Sdn Bhd dengan jualan pertimbangan tunai RM26.1 juta pada Disember 2025.
Selain itu kata Southern Steel, kumpulan itu memeterai perjanjian dengan Ann Joo Resources Berhad bagi mengambil alih 100% kepentingan dalam Ann Joo Steel Berhad pada nilai RM1.005 bilion.
"Usaha tersebut dijangka mampu memperkukuh kedudukan dalam sektor pembuatan huluan, dan menyentuh prospek masa depan, industri keluli masih kekal mencabar ekoran lebihan kapasiti global," ujarnya.
Di samping itu jelasnya lagi, faktor ketidaktentuan harga di pasaran logam, dan isu geopolitik di rantau Timur Tengah turut memberi kesan besar apabila berlaku peningkatan kos tenaga antarabangsa.
Tambah Southern Steel, sekiranya dilihat di peringkat tempatan pula, aktiviti penguatkuasaan had berat lori yang lebih ketat oleh pihak berkuasa turut memberi impak kepada kenaikan kos logistik.
Bagaimanapun, Lembaga Pengarah kumpulan berkenaan katanya, tetap optimis secara berhati-hati berdasarkan kedudukan kunci kira-kira yang kukuh dan inisiatif strategik yang sedang berjalan.
Syarikat sudah menukar penamat tahun kewangan daripada 30 Jun kepada 30 September, menyebabkan tiada angka perbandingan bagi suku sama tahun sebelumnya dalam laporan terkini. - DagangNews.com








