KUALA LUMPUR 17 Dis - Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata akan meneroka segala ikhtiar dan pilihan yang ada bagi menempatkan ekonomi negara ke landasan terbaik meskipun berdepan cabaran amat sukar.
Dalam kenyataan pertama selepas memasuki pejabat hari ini, Ahli Parlimen Johor Bahru itu sedar mengenai kebimbangan dirasai semua pihak susulan keadaan ekonomi yang sangat mencabar saat ini.
"Insya-Allah kebimbangan ini akan mendorong fokus saya dalam menentukan keutamaan yang perlu diambil.
"Tindakan yang bertanggungjawab bagi menghadapi cabaran ini adalah dengan meneroka segala ikhtiar dan pilihan yang ada agar sedaya upaya kita letakkan posisi ekonomi yang terbaik meski pun berhadapan dengan cabaran yang amat sukar," katanya.
Terdahulu Akmal bersama enam lagi menteri dan lapan timbalan menteri yang dilantik semalam mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, di sini, hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu, yang berlangsung di Singgahsana Kecil pagi ini.
Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan menteri baharu serta pertukaran beberapa portfolio, berikutan kekosongan dalam Kabinet Kerajaan MADANI dan keperluan untuk membuat sedikit penyesuaian.
Menurut Akmal, selesai majlis mengangkat sumpah, beliau bersama-sama Timbalan Menteri telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan KSU sebelum ke Mesyuarat Kabinet.
"Hakikat yang lebih berat adalah kita berhadapan dengan keadaan ekonomi yang sangat mencabar.
"Pertumbuhan ekonomi dunia dijangka lebih perlahan sekurang-kurangnya sehingga tahun 2027 dengan isu ketegangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi dan perdagangan global masih menjadi cabaran utama kepada pertumbuhan ekonomi," ujarnya. - DagangNews.com








