Kebimbangan penyusutan ketara eksport 2H25 `diperbesar-besarkan', kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kebimbangan penyusutan ketara eksport 2H25 `diperbesar-besarkan', kata Maybank IB

Operasi malam Northport di Pelabuhan Klang - Gambar JOHARDY IBRAHIM/DagangNews
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 Sept - Maybank Investment Bank berkata, kebimbangan mengenai kemungkinan penyusutan ketara eksport Malaysia dan serantau pada separuh kedua 2025 telah diperbesar-besarkan, dengan faktor domestik serta penilaian pasaran yang menarik dijangka terus menyokong sentimen pelabur.

 

Indeks MSCI Malaysia meningkat 4.4% dalam tempoh tiga bulan lalu, berbanding kenaikan lebih kukuh MSCI ASEAN sebanyak 5.95%.

 

Walaupun aliran keluar asing kekal berterusan, firma penyelidikan itu melihat potensi kenaikan dalam pasaran ekuiti Malaysia.

 

“Penilaian PE ke hadapan kini berada di bawah paras 25 peratus julat 10 tahun, sekali gus menjadikan pasaran menarik pada tahap semasa.

 

"Digabungkan dengan perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan, pertumbuhan pendapatan yang stabil serta kitaran pelaburan yang sedang rancak, kami menjangkakan KDNK Malaysia berkembang 4.2% pada 2025,” jelas Maybank IB dalam nota strategi terbarunya.

 

Maybank IB turut menambah, dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini, faktor gaya pelaburan berasaskan momentum mencatatkan prestasi lebih baik, manakala gaya Volatiliti Rendah adalah satu-satunya yang ketinggalan.

 

Keyakinan pelabur juga dipacu oleh pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 yang menyasarkan pertumbuhan KDNK tahunan 5.0% bagi tempoh 2026–2030.

 

Memandang ke hadapan, Maybank IB menjangkakan profil prestasi faktor sama akan berterusan, meskipun dagangan berasaskan momentum dijangka perlahan sedikit.

 

Firma itu mengutamakan gabungan gaya Nilai dan Pertumbuhan, dengan saham berkapitalisasi kecil dilihat sebagai pemacu utama alpha.

 

Pilihan Portfolio

  • Portfolio Nilai: Bermaz Auto, DXN Holdings, Critical Holdings dan IGB REIT – disokong oleh pendapatan domestik yang kukuh dan penilaian menarik.

  • Pertumbuhan & Kualiti: MN Holdings (buku pesanan RM1.16 bilion diterajui projek pusat data dan TNB), Frontken (permintaan kukuh bagi operasi bilik bersih) serta Greatech (unjuran pesanan lebih tinggi dalam sektor solar, perubatan dan simpanan tenaga).

  • Portfolio Pertumbuhan: Westports (pemulihan volum penghantaran), Gamuda (kemenangan konsisten projek infrastruktur utama) serta Farm Fresh (permintaan meningkat untuk produk baharu dan peluasan kapasiti).

 

“Tema domestik yang berdaya tahan terus menjadi asas kepada kisah pertumbuhan Malaysia. Pemilihan strategik dalam saham Nilai dan Pertumbuhan mampu memberikan pulangan lebih baik dalam bulan-bulan mendatang,” jelas Maybank IB. - DagangNews.com