Kafe Adeq Sue milik Hai O jadi tumpuan jemaah Malaysia di Tanah Suci Mekah  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kafe Adeq Sue milik Hai O jadi tumpuan jemaah Malaysia di Tanah Suci Mekah 

Hairuddin Omar mempamerkan produk-produk sedia dimakan keluaran syarikatnya di Mekah. - Gambar HUSNA ABDULLAH
Daripada HUSNA ABDULLAH di Arab Saudi

MEKAH 16 Jun - Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Hairuddin Omar kini bergelar usahawan dalam bidang perniagaan makanan membuka kafeteria di Hotel Rehab Janadriyah di sini, sejak tiga tahun lalu hasil kerjasama dengan rakan kongsinya iaitu penduduk asal Arab Saudi.

 

Kafe Adeq Sue kini menjadi tumpuan jemaah dari Malaysia sama ada musim haji atau yang mengerjakan umarah di Tana Suci.

 

Anak jati kelahiran Setiu, Terengganu ini mula menyertai bidang F&B menerusi pembukaan sebuah kilang 'central kitchen' dekat Kudai di Mekah yang sudah beroperasi sejak awal tahun ini.

 

Mesra dikenali sebagai Hai O, beliau menjelaskan perniagaan di Mekah itu mula diteroka setelah operasi perniagaan pes rempah masakan dengan jenama Adeq Sue semakin kukuh di Malaysia.

 

"Saya lihat banyak peluang perniagaan boleh diteroka rakyat Malaysia di Timur Tengah terutama sekitar Riyadh, Jeddah, Madinah dan Mekah.

 

"Peningkatan kunjungan jemaah haji dan umrah dari Malaysia memberi impak positif terhadap perniagaan ini kerana mereka masih mahu menikmati menu cita rasa asli sepanjang berada di Tanah Suci," katanya kepada DagangNews.com di hotel Rehab Janadriyah di sini, baru-baru ini.

 

Hai O

 

Antara menu yang disediakan di kafe hotel tersebut ialah nasi dagang, keropok lekor, mi kari, laksa Penang, sup ekor, bakso dan aneka kuih muih asli Malaysia.

 

Hai O yang kini masih bertugas sebagai jurulatih bola sepak berkata, kelancaran operasi perniagaannya ialah kerana memiliki lebih 30 kakitangan syarikat yang sangat berdedikasi dan bertanggungjawab.

 

"Hampir 90 peratus pekerja adalah penduduk tempatan dan bakinya, saya bawa dari Malaysia untuk melancarkan komunikasi bersama jemaah selain mewujudkan hubungan mesra bersama pelanggan.

 

"Alhamdulillah, maklum balas yang diterima sangat menggalakkan dan pembukaan kilang 'central kitchen' di Kudai itu kelak bakal melancarkan lagi perniagaan katering dan kafeteria hasil kerjasama kami dengan beberapa syarikat yang menyediakan pakej umrah istimewa sepanjang tahun," katanya.

 

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan berkaitan keusahawanan yang banyak membantunya sepanjang bergelar usahawan kira-kira 13 tahun lalu.

 

"Ketika mula membuka restoran dan kilang pemprosesan pes masakan, terlalu banyak bantuan dan bimbingan yang diterima hingga saya memahami selok-belok perniagaan dengan lebih baik.

 

"Harapan saya agar kejayaan kecil ini mampu menjadi inspirasi untuk usahawan lain turut mengorak langkah meneroka pasaran antarabangsa pula satu hari nanti," katanya. - DagangNews.com