Kadar pengangguran Mac 2025 berada pada paras 3.1%, susut kepada 529,600 orang - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kadar pengangguran Mac 2025 berada pada paras 3.1%, susut kepada 529,600 orang - DOSM

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 Mei — Jumlah pengangguran di Malaysia pada Mac 2025 berada pada paras 3.1 peratus menjadikan bilangan keseluruhan menurun kepada 529,600 orang, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan pasaran tenaga buruh negara didapati terus kekal berkembang dengan stabil selaras situasi kedudukan ekonomi semasa yang cukup meyakinkan sepanjang Mac 2025.


Beliau berkata, bilangan tenaga buruh pada bulan itu dalam trend bertambah sebanyak 0.2 peratus dari bulan ke bulan kepada 17.31 juta orang (Februari 2025: 17.27 juta orang) manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal 70.7 peratus.


"Bilangan penduduk bekerja pada Mac 2025 menunjukkan peningkatan berterusan dengan pertambahan 0.3 peratus, menjadikan keseluruhan seramai 16.78 juta orang, berbanding 16.73 juta pada Februari 2025," katanya dalam satu kenyataan. 


Pada masa yang sama kata beliau, bilangan penganggur mengalami pengurangan sebanyak 0.6 peratus, turun kepada 529,600 orang (Februari 2025: 532,800 orang) dengan kadarnya masih adalah tidak berubah pada 3.1 peratus seperti bulan sebelumnya.


Tambahnya, mengikut sektor ekonomi, sebahagian besar penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan, terutama aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit; serta maklumat dan komunikasi.

dosm

 

dosm


Selain itu kata Mohd Uzir, trend peningkatan guna tenaga juga dilihat meningkat dalam sektor pembuatan, pembinaan, dan pertanian, perlombongan dan pengkuarian selain aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.


Berdasarkan perangkaan itu katanya, ekonomi Malaysia dijangka menunjukkan pertumbuhan yang kukuh, didorong oleh beberapa faktor utama seperti peningkatan pelaburan, kestabilan pasaran buruh, dan pemerkasaan sektor eksport.


Beliau berkata, seiring situasi semasa, tenaga buruh negara menunjukkan perkembangan berterusan dengan kadar pengangguran kekal rendah serta bilangan penduduk bekerja yang meningkat, dipacu pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.


"Kadar penyertaan tenaga buruh yang kekal tinggi juga mencerminkan keyakinan terhadap peluang pekerjaan dan untuk bulan-bulan seterusnya, pasaran buruh Malaysia dijangka berkembang berikutan permintaan tenaga buruh yang kukuh," katanya.


Mohd Uzir menambah, kerajaan turut mengambil beberapa langkah strategik memastikan kestabilan pasaran buruh pada 2025 dan dilihat akan terus optimis serta mampu berdaya tahan dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi dunia. - DagangNews.com