KUALA LUMPUR 9 Mei — Kadar pengangguran di seluruh negara dijangka masih lagi kekal stabil sepanjang 2025 dengan diunjurkan mampu berlegar secara purata sekitar 3.1 peratus, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, angka melibatkan penduduk yang tidak bekerja itu adalah lebih baik apabila rendah sedikit berbanding pada 2024 yang merekodkan purata tahunan iaitu 3.3 peratus.
Prestasi itu katanya, disokong perkembangan guna tenaga secara positif serta permintaan berdaya tahan dengan pertumbuhan gaji, terutama sektor berorientasikan domestik, akan meningkatkan perbelanjaan isi rumah.
"Permintaan kukuh serta aktiviti pelaburan berterusan, didorong projek berbilang tahun sektor swasta dan awam, dijangka memacu penciptaan pekerjaan dan mengekalkan permintaan sihat buruh," katanya dalam nota kajian.
Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini melaporkan jumlah pengangguran di Malaysia pada Mac 2025 berada pada paras 3.1 peratus dan menjadikan bilangan keseluruhannya itu terus menurun kepada 529,600 orang.
Artikel berkaitan: Kadar pengangguran Mac 2025 berada pada paras 3.1%, susut kepada 529,600 orang - DOSM
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan pasaran tenaga buruh negara didapati kekal berkembang stabil selaras situasi kedudukan ekonomi semasa yang cukup meyakinkan sepanjang Mac 2025.
Mengulas lanjut, MIDF Research bagaimanapun berkata, ia tetap berhati-hati berhubung potensi risiko pasaran buruh tempatan, terutamanya dalam sektor yang berorientasikan eksport seperti pembuatan dan komoditi.
Para pekerja sektor tersebut katanya, boleh terdedah kepada kesan gangguan perdagangan global berkaitan pelaksanaan tarif oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang melemahkan kadar permintaan eksport Malaysia.
"Kami namun percaya jika rundingan perdagangan antara Malaysia dan AS berjalan dengan baik serta menawarkan kelebihan daya saing berbanding negara lain, ini boleh membantu mengurangkan kesan tarif," katanya.
Sehubungan itu firma penyelidikan tersebut yakin sekiranya proses perbincangan berjaya, ia akan membantu perniagaan mengurangkan risiko pembuangan pekerjaan dalam industri berorientasikan eksport. - DagangNews.com








