Jualan kenderaan kekal perlahan pada Jun selepas menyusut 3% bulan lalu - MAA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan kenderaan kekal perlahan pada Jun selepas menyusut 3% bulan lalu - MAA

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 18 Jun - Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan jualan kenderaan di Malaysia kekal perlahan pada Jun susulan penyusutan 3% tahun ke tahun dalam jumlah keseluruhan industri kenderaan (TIV) kepada 68,007 unit pada Mei 2025 berbanding 70,254 unit dalam bulan sama tahun lalu.

 

Namun begitu, TIV bagi Mei meningkat 12.4% berbanding 60,527 unit pada April, didorong bilangan hari bekerja yang lebih tinggi, promosi jualan yang meluas serta penghantaran tempahan kenderaan yang dibuat pada suku pertama 2025.

 

Berikutan prestasi lemah pada Mei, jumlah TIV terkumpul bagi tempoh Januari hingga Mei 2025 merosot 5% kepada 316,737 unit berbanding 333,309 unit dalam tempoh sama tahun lalu. 

 

MAA menjangkakan TIV pada Jun akan lebih rendah berbanding Mei susulan penutupan sementara kilang utama selama seminggu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

 

Penurunan itu disebabkan kejatuhan 23% dalam jualan kenderaan komersial, manakala jualan kenderaan penumpang turut turun 3%.

 

Dalam pada itu, pengeluaran kenderaan bagi Mei turut merosot 12% tahun ke tahun kepada 65,970 unit, namun meningkat 17.1% secara bulanan. 

 

Daripada jumlah tersebut, 62,291 unit merupakan kenderaan penumpang manakala 3,679 unit ialah kenderaan komersial.

 

Ini menjadikan jumlah pengeluaran keseluruhan bagi lima bulan pertama 2025 sebanyak 299,886 unit merosot 12% berbanding 342,344 unit dalam tempoh sama tahun lalu.- DagangNews.com