Johor tarik pelaburan RM900 juta daripada syarikat logam China, Jiangsu Longda Superalloy | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor tarik pelaburan RM900 juta daripada syarikat logam China, Jiangsu Longda Superalloy

Gambar/Singda Superalloy (Malaysia) Sdn Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Jun - Johor berjaya menarik komitmen pelaburan asing berskala besar bernilai RM900 juta daripada syarikat China, Jiangsu Longda Superalloy, melalui anak syarikatnya Singda Superalloy (Malaysia) Sdn Bhd.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Johor, Lee Ting Han berkata, pelaburan itu adalah antara pelaburan langsung asing (FDI) yang terbesar dalam sektor bahan berprestasi tinggi di Malaysia setakat ini.

 

Katanya, fasa pertama projek melibatkan pelaburan RM250 juta untuk membina kilang di Johor dan dijangka mewujudkan lebih 200 peluang kerja berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan logam, teknologi bahan dan kawalan kualiti.

 

 

 

 

 

Butiran pelaburan tersebut telah dimuktamadkan dalam mesyuarat teknikal bersama Pengarah MIDA Johor, baru-baru ini.

 

Antara produk utama Singda adalah logam khas seperti superalloy berasaskan nikel, titanium dan logam tahan suhu tinggi yang digunakan dalam sektor penting seperti bilah turbin jet, loji kuasa dan nuklear, serta peralatan perubatan berteknologi tinggi.

 

"Pelaburan Singda dijangka membantu perkembangan industri logam berteknologi tinggi di Johor dan menarik lebih banyak syarikat berkaitan serta pelaburan tambahan di peringkat awal dan akhir rantaian industri," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

 

Ting Han berkata, syarikat itu komited untuk bekerjasama dengan Majlis Pembangunan Bakat Johor bagi melatih pekerja tempatan, selain bekerjasama dengan universiti bagi melahirkan graduan dalam bidang logam dan aeroangkasa.

 

Jelas beliau, pelaburan berkenaan juga seiring dengan matlamat Johor untuk menjadi negeri berteknologi tinggi, berkemahiran dan mampu bersaing di peringkat global.

 

"Jumlah pelaburan RM900 juta bukan sekadar angka. Ia bukti keyakinan terhadap masa depan Johor sebagai hab industri pintar di Asia Tenggara," katanya. - DagangNews.com