KUALA LUMPUR 19 Mei — Johor Plantations Group Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM75.27 juta pada suku pertama yang berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25), meningkat 52 peratus berbanding RM49.53 juta pada tempoh sama 2024.
Syarikat tersebut berkata, lonjakan itu berikutan harga tinggi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) dengan hasil juga meningkat 15.4 peratus kepada RM340.43 juta pada 1QFY25 daripada RM294.91 juta pada 1QFY24.
Perolehan sesaham (EPS) pada suku berkenaan meningkat kepada 3.04 sen daripada 2.45 sen setahun lalu manakala penghantaran MSM merosot 10.7 peratus daripada 62,925 tan metrik (MT) pada 1QFY24 kepada 56,203 MT pada 1QFY2025.
"Penghantaran PK merosot 4.6 peratus, sejajar dengan aliran industri, namun walaupun pengeluaran lebih rendah, kumpulan ini terus menghasilkan keputusan kewangan kukuh," kata Johor Plantations dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Perkembangan ini katanya, didorong oleh kenaikan 22.2 peratus dalam purata harga jualan MSM yang direalisasikan, kenaikan 65.2 peratus bagi harga jualan PK, dan premium harga jualan lebih tinggi dicatatkan pada suku tersebut.
Keadaan itu tambah syarikat perladangan berkenaan, telah berjaya mengukuhkan keupayaan kumpulan tersebut untuk mengekalkan prestasi yang positif melalui nilai dioptimumkan.
Purata harga jualan MSM kumpulan itu adalah berjumlah RM4,969/MT, yang mencerminkan premium sebanyak RM236/MT berbanding harga purata ditetapkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
PK juga kata Johor Plantations, memperoleh premium, dengan harga purata sebanyak RM3,898/MT, iaitu RM269/MT yang melebihi harga rujukan oleh MPOB sendiri.
Memandangkan paras stok yang tinggi dan pemulihan beransur-ansur dalam permintaan, kumpulan itu kekal optimistik dengan berhati-hati mengenai rancangan operasi dan disiplin pengeluaran untuk mengekalkan prestasi berdaya tahan.
Walaupun harga minyak sawit mentah mungkin menghadapi tekanan jangka pendek ekoran faktor ketidaktentuan global yang lebih luas, kumpulan itu mengekalkan pandangan berhemat dan berada di kedudukan strategik pada suku-suku hadapan.
Lembaga Pengarah Johor Plantations turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1 sen sesaham bagi suku tersebut, yang perlu dibayar pada 24 Jun 2025.
Pengarah Urusannya, Mohd Faris Adli Shukery berkata, kumpulan itu kekal yakin dengan prospek tahun ini dan komited untuk mengekalkan pembayaran dividen tahunan minimum sebanyak 50 peratus daripada Keuntungan Selepas Cukai dan Faedah Minoriti (PATAMI).
"Kami dipacu permulaan tahun yang kukuh dengan tumpuan kami kekal pada menyampaikan pertumbuhan jangka panjang, mampan melalui kecemerlangan operasi, inovasi dan penciptaan nilai untuk semua pihak berkepentingan," katanya. - DagangNews.com








