KUALA LUMPUR 14 Ogos – JLand Group (JLG), cabang hartanah dan infrastruktur Johor Corporation (JCorp), memeterai kerjasama selama tiga tahun dengan syarikat China, ZGC International Holding Ltd bagi meletakkan Johor sebagai hab serantau untuk inovasi dan pelaburan teknologi tinggi.
Kerjasama ini bertujuan menarik firma teknologi global ke aset industri JLG termasuk Ibrahim Technopolis (IBTEC) serta pembangunan dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) tidak mengikat, kerjasama ini akan memfokuskan kepada tiga inisiatif utama iaitu menyokong syarikat antarabangsa berpindah operasi ke Johor serta membangunkan dan mempromosikan projek JS-SEZ secara bersama.
Selain itu, persefahaman ini juga membabitkan penubuhan pusat inovasi Johor bagi penyelidikan, pembangunan dan pembinaan ekosistem.

Pengarah Urusan Kumpulan JLG, Datuk Akmal Ahmad berkata, kerjasama ini adalah lonjakan strategik dalam memperluaskan ekosistem syarikat ke peringkat global.
“ZGC membawa model inovasi yang terbukti berkesan dan dengan capaian global yang kukuh akan membantu menghubungkan IBTEC dan JS-SEZ dengan syarikat, modal serta teknologi berfokus masa depan,” katanya.
ZGC International dikenali melalui perkhidmatan inovasi menyeluruh termasuk inkubasi syarikat pemula, pemadanan pelaburan dan pencarian bakat, dengan kehadiran global di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia.
Pengurus Besar ZGC International, Lu Jiang berkata, visi JLand Group selari dengan strategi perniagaan syarikat untuk menghubungkan inovasi global dengan pasaran berpotensi tinggi.
Kerjasama ini dijangka menyokong strategi ekonomi peringkat nasional dan negeri di bawah agenda Maju Johor 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13, dengan fokus kepada infrastruktur digital, kecerdasan buatan (AI) dan zon ekonomi rentas sempadan. - DagangNews.com








