JLand, Eco World teroka peluang pembangunan hartanah bersama di Malaysia dan Australia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JLand, Eco World teroka peluang pembangunan hartanah bersama di Malaysia dan Australia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Mei — JLand Group (JLG) dan Eco World International Berhad (EWI) meneroka peluang pembangunan hartanah secara bersama yang merentas sempadan di Malaysia dan Australia menerusi perjanjian rangka kerja.


Perjanjian yang tidak bersifat mengikat itu mencerminkan cita-cita bersama bagi membuka kunci nilai strategik dalam kedua-dua pasaran serta memanfaatkan kekuatan dua platform pembangunan dengan berpandangan ke hadapan.


Ia dilaksanakan melalui JLG Investment Holdings Sdn Bhd, yang menetapkan peringkat untuk kedua-dua pihak bersama-sama menilai projek berpotensi tinggi dan meneroka struktur perkongsian sesuai dimiliki atau dikenal pasti.


"Penglibatan secara sulung ini akan menghimpunkan jangkauan global EWI dan pengaruh serantau yang semakin meningkat dalam JLG sendiri," kata kedua-dua kumpulan tersebut dalam satu kenyataan bersama.


JLG yang merupakan sayap hartanah dan infrastruktur Johor Corporation (JCorp) telah menyatakan minat terhadap tapak kediaman EWI di Macquarie Park, lokasi utama 18 kilometer dari daerah perniagaan pusat bandar raya Sydney.


Selain itu, EWI pula sedang meneroka penyertaan untuk cadangan pembangunan perindustrian seluas 121 hektar dalam Ibrahim Technopolis (IBTEC), sebuah perbandaran bersepadu utama JLG di Sedenak, Johor. 


Terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), IBTEC disokong oleh sebanyak lebih RM34 bilion dalam pelaburan komited.


"Kepentingan bersama ini menekankan penjajaran strategik dua organisasi menggabungkan pengalaman pembangunan antarabangsa EWI dengan cita-cita JLG meningkatkan keupayaan pembangunan terbuktinya di rantau ASEAN," kata kenyataan itu.


Kemasukan IBTEC mencerminkan pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap keupayaan JLG untuk menjadi pemangkin ekosistem sedia pelabur yang menyokong kedua-dua keutamaan negara dan potensi pelaburan rentas sempadan.


Di samping itu katanya, minat JLG terhadap Macquarie Park dibina berdasarkan kemasukan kediaman awalnya ke Brisbane dan menandakan kehadirannya yang semakin mendalam di Australia.


“Perjanjian rangka kerja ini menandakan bab seterusnya dalam strategi pertumbuhan serantau kami dan memberi peluang membina momentum serta menawarkan platform kerjasama global," tambah kenyataan tersebut.


Kedua-duanya kekal fokus pada misi teras untuk memacu pembangunan yang berimpak tinggi, mampan di peringkat tempatan, dan terus mencipta ekosistem menarik keyakinan rakan kongsi tersenarai dengan jangkauan antarabangsa. - DagangNews.com