JAG Capital tambah pegangan dalam MyNews | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JAG Capital tambah pegangan dalam MyNews

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Dis – JAG Capital Holdings Bhd, syarikat yang dikawal oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, mengukuhkan lagi kedudukannya dalam MyNews Holdings Bhd selepas membeli 48.3 juta saham syarikat pengendali kedai serbaneka itu melalui dagangan luar pasaran pada 5 Disember lalu.

 

Menurut pemakluman MyNews kepada Bursa Malaysia, urus niaga tersebut menjadikan pegangan JAG Capital meningkat kepada kira-kira 20%, berbanding kurang 14% sebelum ini. Butiran harga pembelian tidak dinyatakan dalam pemfailan tersebut.

 

Pemegang saham terbesar MyNews masih kekal D&D Consolidated Sdn Bhd, syarikat kenderaan pelaburan keluarga pengasas Ding yang mengekalkan pegangan 50% dalam kumpulan itu.

 

Data Bloomberg menunjukkan lima blok saham diperdagangkan, dengan empat blok berjumlah lebih 30 juta saham bertukar tangan pada harga 60 sen sesaham dengan nilai keseluruhan RM18 juta.

 

Harga itu adalah premium 2.6% berbanding harga penutup MyNews pada 58.5 sen Jumaat lepas.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Eksekutif MyNews, Ding Tai Luk, bersama adik-beradiknya, Tai Wen dan Tai Hock, menjual lebih 21 juta saham melalui dua blok pada hari yang sama. Tai Wen ialah Ketua Pegawai Eksekutif MyNews, manakala Tai Hock yang mengetuai operasi pembuatan makanan turut melepas pegangan langsung sebanyak 3.75 juta saham.

 

Satu lagi blok melibatkan 18.3 juta saham daripada penjual tidak dikenal pasti didagangkan pada 56 sen sesaham, dengan nilai RM10.2 juta. Secara keseluruhan, 48.3 juta saham MyNews bertukar tangan dengan nilai RM28.2 juta.

 

Pada penutup dagangan tengah hari Isnin, saham MyNews naik satu sen atau 1.7% kepada 59.5 sen, meletakkan nilai pasaran syarikat pada RM446.5 juta. - DagangNews.com