Jadual tarif elektrik baharu belum dimuktamadkan walaupun purata asas telah ditetapkan - Fadillah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jadual tarif elektrik baharu belum dimuktamadkan walaupun purata asas telah ditetapkan - Fadillah

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 7 Mac - Pengumuman yang dibuat oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengenai tarif elektrik tidak menggambarkan keputusan penuh kerajaan, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

 

“Apa yang diumumkan oleh TNB tidak menggambarkan keputusan penuh kerajaan kerana pada masa itu jadual tarif baharu belum dimuktamadkan, walaupun purata tarif asas telah pun ditentukan kerajaan,” kata Fadillah.

 

Fadillah - yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air - berkata demikian pada Rabu (5 Mac) dalam jawapan Parlimen kepada soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut).

 

Hamzah ingin tahu sama ada sebarang tindakan diambil terhadap ahli lembaga pengarah TNB kerana membuat pengumuman berhubung kenaikan tarif elektrik itu.

 

Fadillah menjelaskan kerajaan mempunyai mekanisme khusus untuk menetapkan purata tarif asas elektrik, yang telah dilaksanakan sejak 2014, berdasarkan mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR).

 

"Melalui mekanisme IBR, purata tarif asas di Semenanjung Malaysia untuk TNB akan dikaji setiap tiga tahun, bersama-sama dengan penetapan parameter asas untuk perniagaan TNB, yang dikawal oleh Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga," tambah Fadillah.

 

Pada 13 Dis 2024 kata beliau, kerajaan meluluskan penetapan purata tarif elektrik asas di Semenanjung Malaysia bagi TNB di bawah mekanisme IBR bagi Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4), yang akan bermula pada 1 Jan 2025 dan berakhir pada 31 Dis 2027.

 

“Sehubungan itu, Kementerian pada 20 Dis 2024 mengeluarkan kenyataan media bertajuk ‘Pengekalan Tarif Elektrik di Semenanjung Malaysia: Kerajaan Akan Berikan Subsidi Elektrik sebanyak RM5.96 bilion bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2025.

 

“Ini bermakna semua pengguna akan terus membayar kadar tarif yang sama seperti sebelum ini,” katanya. - DagangNews.com