Izaddeen letak jawatan sebagai Pengarah Pharmaniaga susulan rombakan lembaga Boustead | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Izaddeen letak jawatan sebagai Pengarah Pharmaniaga susulan rombakan lembaga Boustead

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 17 Jun – Pharmaniaga Bhd mengumumkan peletakan jawatan Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif Izaddeen Daud, berkuat kuasa hari ini.

 

Beliau sekali gus menjadi antara nama terbaharu dalam rombakan lembaga pengarah syarikat berkaitan Boustead.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Izaddeen mengosongkan jawatan itu "untuk mengejar kepentingan lain". 

 

Syarikat itu turut memaklumkan tiada sebarang perselisihan dengan lembaga pengarah atau isu yang memerlukan perhatian pemegang saham.

 

Peletakan jawatan itu berlaku hanya dua minggu selepas Izaddeen melepaskan jawatan beliau dalam lembaga pengarah Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC), anak syarikat Boustead.

 

Perubahan tersebut selaras dengan agenda penstrukturan semula secara menyeluruh oleh syarikat induk BHIC, Boustead Holdings, bersama pemegang saham utamanya, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

 

Pada 3 Jun lalu, BHIC mengumumkan tiga ahli lembaga kanan, termasuk Izaddeen, telah meletak jawatan sebagai sebahagian daripada penyusunan semula kepimpinan syarikat.

 

Izaddeen telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Boustead Holdings pada Disember 2022. 

 

Laporan tahunan terkini BHIC masih menyenaraikan beliau sebagai GCEO, walaupun laman web rasmi Boustead ketika ini tidak menyenaraikan sesiapa dalam jawatan tersebut.

 

Sebelum ini, Izaddeen pernah memegang pelbagai jawatan kanan dalam institusi ternama termasuk Permodalan Nasional Bhd, MARA Incorporated dan ASM Investment Services Bhd.

 

Pharmaniaga menjelaskan beliau tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mana-mana pengarah atau pemegang saham utama, tiada konflik kepentingan, dan tidak memegang sebarang pegangan saham dalam syarikat.- DagangNews.com