Irmmie Josfina Abd Rahman dilantik sebagai CFO Handal Energy | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Irmmie Josfina Abd Rahman dilantik sebagai CFO Handal Energy

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 5 Mac - Handal Energy Bhd mengumumkan pelantikan Irmmie Josfina Abd Rahman sebagai ketua pegawai kewangan (CFO).

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, Irmmie Josfina merupakan kakak kepada Naib Pengerusi Eksekutif Handal Energy, Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman, yang juga pemegang saham tunggal terbesar dengan 5.91% kepentingan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu berkata, Irmmie yang berusia 49 tahun mempunyai pengalaman lebih 20 tahun bekerja di pelbagai organisasi.

 

Paling terbaharu, beliau berkhidmat sebagai CFO di UMD Energy Sdn Bhd dari 2020 hingga Februari 2025. Sebelum itu, beliau merupakan CEO Clicksoft Sdn Bhd dari 2016 hingga 2019.

 

Irmmie memegang ijazah dalam perakaunan dan kewangan dari Universiti Sunderland, UK.

 

 

Handal Energy

 

 

Kelmarin, Handal Energy mengumumkan syarikat itu menceburi sektor perkhidmatan kesihatan melalui subpajakan dua hospital di Selangor.

 

Syarikat tersebut telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Hartanah Azzahrah Sdn Bhd (HASB) yang akan menggunakan khidmat Handal untuk mencari pembeli bagi Hospital Islam Az-Zahrah Bangi dan Hospital Az-Zahrah Bandar Tun Hussein Onn, dengan jumlah nilai anggaran tidak kurang RM69 juta.

 

Langkah menceburi sektor perkhidmatan kesihatan adalah penting memandangkan Handal Energy telah mengalami kerugian dalam tujuh suku berturut-turut. 

 

Untuk tiga bulan yang berakhir pada 31 Disember 2024, syarikat mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM1.79 juta dengan hasil sebanyak RM2.65 juta.

 

Bagi tempoh enam bulan yang berakhir pada 31 Disember 2024, Handal melaporkan kerugian bersih sebanyak RM3.93 juta dengan hasil sebanyak RM5.05 juta. - DagangNews.com