Iris Group kalah saman RM30.14 juta berkait projek NIISe, anak syarikat diperintah bayar tunggakan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Iris Group kalah saman RM30.14 juta berkait projek NIISe, anak syarikat diperintah bayar tunggakan

KUALA LUMPUR 26 Mei - Iris Group Berhad memberitahu Mahkamah Tinggi telah mengarahkan anak syarikat milik penuhnya, Iris Information Technology Systems Sdn Bhd (IITS) membayar tuntutan berjumlah RM30.14 juta berkaitan pertikaian dalam pelaksanaan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memberitahu IITS diarahkan membayar jumlah tertunggak kepada Tec D Distribution (Malaysia) Sdn Bhd bersama faedah 1.5% sebulan ke atas invois belum dibayar sehingga penyelesaian penuh dibuat.

 

Mahkamah turut memerintahkan IITS membayar kos sebanyak RM80,000 kepada plaintif.

 

Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan terhadap Iris Group dengan kos RM40,000 diberikan kepada syarikat itu.

 

Iris Group yang sebelum ini dikenali Iris Corp Bhd berkata, jumlah prinsipal penuh berhubung tuntutan tersebut telah diperuntukkan dalam akaun syarikat dan pihaknya kini sedang mendapatkan nasihat guaman berhubung tindakan lanjut susulan keputusan berkenaan.

 

Pertikaian itu berpunca daripada saman yang difailkan Tec D Distribution berkaitan dakwaan pembayaran tertunggak bagi pembekalan perkakasan, perisian dan perkhidmatan untuk projek NIISe yang dianugerahkan pada 2021.

 

Kontrak NIISe RM1.16 bilion

IITS sebelum ini memperoleh kontrak NIISe bernilai RM1.16 bilion pada Mac 2021 ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi tempoh 54 bulan sehingga Ogos 2025.

 

Bagaimanapun, projek tersebut ditamatkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada Ogos 2023 sebelum dianugerahkan semula kepada HeiTech Padu Berhad dengan nilai RM1.05 bilion.

 

Dalam perkembangan berkaitan, IITS turut membawa pertikaian berasingan dengan Kementerian Dalam Negeri ke Asian International Arbitration Centre selepas memfailkan notis timbang tara pada November 2023.

 

Menurut laporan tahunan syarikat, prosiding timbang tara itu dijadual berlangsung antara 1 hingga 18 Disember tahun lalu.

 

Selain itu, IITS juga sedang berdepan timbang tara yang dimulakan oleh Datamicron Systems Sdn Bhd berkaitan yuran perkhidmatan dan lesen perisian bagi projek NIISe. - DagangNews.com