iPayment dilaksana secara menyeluruh bermula Mac 2025 - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

iPayment dilaksana secara menyeluruh bermula Mac 2025 - PM Anwar

Sistem iPayment memberi pilihan kepada pelanggan untuk membuat pembayaran kepada Kerajaan secara dalam talian

PUTRAJAYA 12 Feb - Sistem terimaan elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment) bakal dilaksanakan secara menyeluruh bermula Mac.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa ia dipercepat bagi meningkatkan kecekapan urusan perkhidmatan awam kepada rakyat.

 

“Sistem terimaan elektronik ini tentunya satu pembaharuan dan saya setuju gesaan harus disegerakan kerana transformasi digital ini telah kita umumkan sebagai dasar negara hampir setahun.

 

“Saya percaya unjuran kita untuk melaksanakan keseluruhannya pada bulan April boleh dipercepatkan.

 

“Jadi bulan Ramadan kita tumpukan hal ini supaya selesai kalau tidak, tak ada cuti raya,” katanya ketika berucap pada perhimpunan Kementerian Kewangan hari ini.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peluncuran iPayment pada hari ini adalah satu langkah ke hadapan yang juga selari dengan reformasi perkhidmatan awam.

 

“Ini kerana selain daripada perkara baharu dibentangkan, ia ada makna langsung kepada rakyat, kecekapan, mengelak daripada karenah birokrasi menunggu lama.

 

“Bagi saya khidmat awam ini diukur di sini, kadang-kadang kita dalam dewan bicara soal dasar, tapi kelemahan bila kita turun ke daerah dan jabatan-jabatan.” ujarnya.

 

Seperti diumumkan di Belanjawan 2025, iPayment merupakan sistem terimaan elektronik bersepadu yang dibangunkan bersama oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), selaras dengan dasar kerajaan ke arah memacu transformasi digital sektor awam ke arah komuniti tanpa tunai.

 

Sistem ini disediakan untuk kegunaan agensi Kerajaan Persekutuan yang masih belum mempunyai sistem terimaan elektronik bagi menguruskan pembayaran oleh awam terhadap perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan.

 

Sebelum ini, setiap agensi Kerajaan perlu membangunkan sistem pembayaran tanpa tunai secara individu. Dengan iPayment, semua agensi kini dapat menyediakan perkhidmatan pembayaran elektronik tanpa kos pembangunan tambahan.

 

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican; Akauntan Negara Malaysia Nor Yati Ahmad dan Ketua-ketua Setiausaha Kementerian.

 

iPayment boleh diakses melalui tiga saluran pembayaran iaitu portal, kaunter (point of sale) dan aplikasi mudah alih.

 

 

iPayment

 

 

Sistem iPayment memberi pilihan kepada pelanggan untuk membuat pembayaran kepada Kerajaan secara dalam talian dengan menggunakan mod pembayaran seperti kad debit, kad kredit, kad prabayar, perbankan internet (DuitNow Online Banking/Wallets), kod QR (DuitNow QR) dan juga e-dompet.

 

iPayment adalah inisiatif ePembayaran di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025.

 

Ia juga merupakan projek yang dipantau oleh Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara di bawah inisiatif ‘Pelaksanaan Pembayaran Tanpa Tunai Agensi Kerajaan Secara Bersepadu’.

 

Pelaksanaan sistem ini menunjukkan komitmen jitu untuk meningkatkan akauntabiliti terimaan kerajaan yang lebih telus dan selamat di persekitaran digital.

 

iPayment mula dibangunkan pada awal tahun 2022 dengan Fasa 1 melibatkan saluran portal yang telah bermula pada 1 Mac 2024. Manakala, pelaksanaan Fasa 2 adalah pada 1 Februari 2025 dengan tambahan saluran kaunter dan aplikasi mudah alih.

 

Kementerian/agensi perintis yang telah menggunakan sistem ini adalah;-

i. Jabatan Perdana Menteri - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)

ii. Kementerian Kewangan - Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM)

iii. Kementerian Pendidikan Tinggi - Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti

iv. Kementerian Kesihatan - Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN)

v. Kementerian Kesihatan - Institut Kesihatan Negara

vi. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM)

vii. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Jabatan Perikanan (DOF)

viii. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Bahagian Penguatkuasa. - DagangNews.com