KUALA LUMPUR 26 Sept - Inta Bina Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Inta Bina Sdn Bhd (IBSB), menerima Surat Anugerah (LOA) bernilai RM40.6 juta daripada Eco Majestic Development Sdn Bhd bagi kerja-kerja utama pembinaan di Precint 2, Fasa 3, Hulu Langat, Selangor.
Projek tersebut melibatkan pembangunan 128 unit rumah teres dua tingkat dalam skim perumahan berpagar dan berkawal (Hakmilik Strata), terdiri daripada 30 unit Type 2A (30’ x 60’), 65 unit Type 2B (30’ x 60’), 33 unit Type 2C (30’ x 75’) serta sebuah pencawang elektrik.
Tempoh pembinaan adalah selama 20 bulan bermula 8 Oktober 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 7 Jun 2027. Tiada risiko besar dijangka selain risiko operasi biasa sepanjang tempoh pembinaan.
Kontrak berkenaan dijangka menyumbang positif kepada pendapatan masa depan kumpulan bagi tempoh kontrak tersebut, tanpa memberi kesan kepada modal saham atau pegangan pemegang saham utama.
Pembiayaan akan diperoleh daripada dana dalaman dan/atau pinjaman luar, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Lembaga Pengarah Inta Bina menegaskan kontrak ini adalah sebahagian daripada operasi perniagaan biasa syarikat dan diyakini selaras dengan kepentingan kumpulan secara keseluruhan.
Tiada pengarah atau pemegang saham utama mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek tersebut, kata Inta Bina. - DagangNews.com








