KUALA LUMPUR 3 Sept - Inta Bina Group Bhd meraih satu kontrak baharu bernilai RM212.34 juta daripada Sime Darby Property (KL East) Sdn Bhd, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam rekod syarikat itu bagi projek pembangunan hartanah berskala besar.
Dalam satu pemakluman di Bursa Malaysia hari ini, syarikat pembinaan itu berkata anak syarikat milik penuhnya, Inta Bina Sdn Bhd (IBSB), telah menerima Surat Tawaran (LOA) daripada Sime Darby Property (KL East) untuk melaksanakan kerja-kerja bangunan utama, luaran serta mekanikal dan elektrikal (M&E) bagi satu pembangunan kediaman bertingkat tinggi di Setapak, Kuala Lumpur.
Projek yang terletak di Lot 201058 (dahulunya PT9761) di Jalan Melati Kuarza 1 itu akan menampilkan satu blok kondominium dengan dua menara — Anjung A yang merangkumi 233 unit kediaman setinggi 30 tingkat dan Anjung B dengan 247 unit setinggi 32 tingkat.
Kedua-dua menara ini akan dibina di atas podium lapan tingkat yang menempatkan tempat letak kereta (dari aras bawah tanah lima hingga aras dua) serta dua tingkat kemudahan penduduk di atas tanah dan aras tiga, selain satu aras sub-bawah tanah.
Kerja pembinaan dijadual bermula pada 7 Oktober 2025 dan akan mengambil masa 36 bulan, dengan sasaran siap pada 6 Oktober 2028.
Inta Bina menjelaskan, tiada risiko ketara yang dijangkakan selain risiko operasi biasa sepanjang tempoh pembinaan.
Kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh projek, namun tidak memberi kesan kepada modal saham atau pegangan pemegang saham utama syarikat.
Pembiayaan bagi projek itu akan diperoleh melalui dana dalaman dan/atau pinjaman luar. Syarikat turut mengesahkan bahawa tiada pengarah atau pemegang saham utama, mahupun individu yang berkaitan dengan mereka, mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.
“Lembaga Pengarah Inta Bina, selepas penelitian, berpendapat bahawa kontrak ini adalah demi kepentingan terbaik kumpulan. Kontrak ini dimeterai dalam urusan perniagaan biasa syarikat dan tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham,” kata syarikat itu dalam kenyataannya. - DagangNews.com








