Institut Tadbir Urus Bertauliah Malaysia lantik Dipa Kaur sebagai Presiden baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Institut Tadbir Urus Bertauliah Malaysia lantik Dipa Kaur sebagai Presiden baharu

Dipa Kaur
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Julai – Institut Tadbir Urus Bertauliah Malaysia (CGIM) yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Setiausaha Berkanun dan Pentadbir Malaysia (MAICSA) melantik Dipak Kaur atau lebih dikenali sebagai Dipa Kaur sebagai Presiden baharu organisasi itu dalam meneruskan usaha memperkukuh profesion tadbir urus dan amalan terbaik korporat di Malaysia.

 

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Datuk Akbar Moidunny yang kini berperanan sebagai Immediate Past President CGIM selepas menerajui badan profesional tersebut sebelum ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CGIM, Justin J. Anthony berkata, di bawah kepimpinan Dipa, institusi itu akan terus memperkasa profesion tadbir urus, melengkapkan ahli dengan kemahiran menghadapi perubahan dinamik dalam peraturan serta membentuk masa depan tadbir urus dalam persekitaran digital dan berteraskan kelestarian.

 

Dalam pada itu, Dipa berkata, beliau berbesar hati untuk menerajui CGIM yang mempunyai legasi selama 67 tahun sebagai badan profesional utama negara bagi setiausaha bertauliah dan golongan profesional tadbir urus.

 

Beliau berkata, CGIM akan terus memberi penekanan kepada pembangunan kompetensi profesional, memperkukuh penglibatan ahli serta pelajar, menerajui pemikiran berkaitan tadbir urus, menggalakkan amalan terbaik serta memperkukuh budaya akauntabiliti, integriti dan etika dalam profesion berkenaan.

 

“Tadbir urus yang baik kini bukan lagi sekadar memenuhi keperluan pematuhan, sebaliknya menjadi pemacu penting kepada pertumbuhan mampan, daya tahan organisasi serta penciptaan nilai jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebelum ini, Dipa telah berkhidmat sebagai Timbalan Presiden CGIM sejak Julai 2024 dan memegang beberapa peranan kepimpinan utama dalam organisasi itu sejak 2021, termasuk mengetuai pasukan petugas yang membangunkan Panduan Tadbir Urus Korporat untuk Syarikat Tidak Tersenarai yang diterbitkan pada 2023.

 

Dipa kini merupakan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maxis Berhad dan mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang undang-undang korporat, tadbir urus, pematuhan kawal selia serta amalan kesetiausahaan syarikat melibatkan syarikat awam tersenarai dan syarikat persendirian.

 

Sementara itu, Akbar turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan CGIM atas sokongan sepanjang tempoh kepimpinannya selain menyifatkan pengalaman luas dan kepimpinan Dipa mampu membawa perkembangan lebih besar kepada organisasi serta profesion tadbir urus di Malaysia.

 

Dalam perkembangan sama, CGIM turut mengumumkan barisan kepimpinan majlis bagi tahun 2026 yang menyaksikan Dr. Nandita Choudhury dan Profesor Madya Noorbijan Abu Bakar dilantik sebagai Naib Presiden, manakala Simon Yeoh kekal sebagai Bekas Presiden. Organisasi itu turut mengalu-alukan pelantikan Tan Ai Ning dan Dalvinderjit Kaur sebagai anggota majlis baharu. - DagangNews.com