KUALA LUMPUR 29 Ogos - Gangguan bekalan elektrik sementara berlaku di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada Khamis, adalah susulan insiden flashover yang melibatkan penamatan kabel, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
MAHB memberi jaminan, operasi lapangan terbang tidak terjejas kerana sistem penting terus beroperasi tanpa gangguan.
"Sistem kuasa penting kami termasuk penjana sandaran telah diaktifkan serta-merta, memastikan fungsi tanpa henti sistem kritikal seperti pengendalian bagasi, kaunter daftar masuk dan paparan maklumat penerbangan," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
MAHB berkata pasukan teknikalnya bertindak pantas dan profesional dengan mengalihkan kuasa dari pencawang alternatif dan berjaya memulihkan bekalan elektrik sepenuhnya dalam tempoh 28 minit.
"Semua perkhidmatan penting kekal beroperasi sepanjang masa," tambahnya.
MAHB berkata laporan penuh mengenai insiden itu sedang disediakan untuk diserahkan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
"Kami kini sedang menjalankan penilaian menyeluruh terhadap insiden ini bagi mengelakkan kejadian berulang serta memastikan ketahanan infrastruktur kami," katanya.
KLIA2 mengalami gangguan elektrik pada jam 2.15 petang hari ini, dan Menteri Pengangkutan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima kerana menjejaskan imej negara.
Insiden itu berlaku ketika Loke berada di KLIA2 untuk pelancaran "Tap, Travel and Discover" oleh gateway@klia2. - DagangNews.com








