KUALA LUMPUR 19 Mei — Pelaksanaan insentif sifar cukai untuk pejabat keluarga tunggal (SFO) di Forest City dijangka diwartakan Kementerian Kewangan seawal 22 Mei 2025.
Perkara tersebut dilaporkan seorang pegawai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang menambah, pengumuman mengenai pelaksanaan skim tersebut akan diumumkan dalam satu program tertutup.
Pengurus Besar Pembangunan Pengurusan Pelaburan dan Pembangunan Pasarannya, Amardeep Kaur berkata, pihak SC bagaimanapun menjangkakan ia dapat diwartakan kerajaan pada tarikh berkenaan.
"Kami berharap pada Khamis ini, semasa acara tertutup dan ada juga banyak pengumuman mengenai isu pejabat keluarga tunggal ini pada masa akan datang," katanya pada satu program hari ini.
Skim SFO di Forest City disokong insentif sifar cukai yang pertama kali diumumkan pada September 2024 bagi menarik minat individu atau entiti pelaburan keluarga bernilai tinggi ke Malaysia.
Rangka kerja itu menyediakan surat pemudah cara dan insentif khusus berdasarkan situasi kes demi kes, dengan diselaraskan secara bersama antara pihak Kementerian Kewangan dan SC sendiri.
Setakat ini, beberapa aspek utama belum dijelaskan, termasuk skop pelaburan, kriteria terperinci untuk profesional pelaburan, serta kemungkinan visa eksklusif berbilang kemasukan untuk keluarga kaya dan pekerja mereka.
Amardeep menambah, bahawa walaupun baru ada dua SFO telah bersetuju untuk dinamakan setakat ini, sebenarnya terdapat yang lain sudah dalam perancangan untuk beroperasi di Forest City.
"Mereka bersetuju dengan publisiti tersebut kerana tahu kami memerlukan keyakinan pelabur. Orang ramai perlu melihat [kisah kejayaan] sebelum mereka mengikuti dua SFO berkenaan," katanya.
Beliau merujuk ONE KL Management Sdn Bhd yang dikendalikan oleh seorang ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Chua Ma Yu serta Pejabat Keluarga Yow Kee telah dibuka di kawasan tersebut.
SC mengesahkan yang ia sudah menerima banyak permohonan lain, tetapi senarai tersebut akan kekal dirahsiakan melainkan keluarga berkenaan memilih untuk mendedahkannya kepada pengetahuan umum.
"Melangkah ke hadapan, ia hanya nombor. Malah di Singapura, kerajaannya hanya memberikan data secara agregat dan anda juga tidak melihat nama mereka dalam jawapan Parlimen," tambah Amardeep.
SC, yang telah ditugaskan untuk mengetuai dan menyelia pelaksanaan rangka kerja SFO di Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ), juga berfungsi sebagai pusat sehenti untuk kemudahan SFO.
Ini kata beliau, termasuk urusan visa dan penyelarasan kawal selia rentas sempadan selain SC menyelaraskan secara langsung untuk keluarga yang layak membuka SFO zon itu.
"Kami akan menjadi pusat sehenti untuk tujuan visa dan untuk memudahkan urusan rentas sempadan dengan pengawal selia seperti Bank of Thailand," kata Amardeep.
Menurut beliau, SC juga sedang berusaha mengemas kini bahan yang diperlukan untuk rujukan orang awam dan segala panduan mengenai undang-undang berkaitannya.
"Kami cuba melihat sama ada boleh meletakkan lebih banyak maklumat menerusi laman web rasmi kami dan ia bergantung pada sisi undang-undang SC," katanya. - DagangNews.com








