Industri desak kerajaan perluas dan kekalkan skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Industri desak kerajaan perluas dan kekalkan skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM)

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Program Pemeteran Tenaga Bersih atau net energy metering (NEM) yang telah mendorong penggunaan tenaga solar dalam kalangan isi rumah dan perniagaan wajar diteruskan dan diperluaskan, menurut pemain industri.

 

Desakan itu hadir selepas Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengumumkan sedang menilai semula NEM dan mempertimbangkan penggantinya selepas tarif elektrik baharu berkuat kuasa bulan ini.

 

NEM membolehkan isi rumah dan perniagaan menjana elektrik daripada sistem fotovolta solar (PV), menyalurkan lebihan tenaga ke grid nasional, serta menolak sebahagian daripada kos elektrik mereka sendiri.

 

Skim ini merupakan sebahagian dasar tenaga negara untuk menggantikan arang batu dan bahan api fosil dengan sumber boleh diperbaharui seperti solar dan hidro.

 

“Program NEM Rakyat perlu dikekalkan dan diperluas untuk menjamin keyakinan jangka panjang pengguna serta pemain industri,” kata Presiden Persatuan Tenaga Boleh Baharu Fotovolta Malaysia (MPSEA), Justin Sim.

 

BACA JUGA: NEM perlu ditambah baik, bukan dihapuskan oleh Persatuan Industri Tenaga Boleh Baru dan Alam Sekitar (PINTARE)

 

NEM Rakyat adalah versi skim yang menyasarkan isi rumah.

 

Sim menambah mekanisme offset 1-untuk-1 dalam NEM perlu memberi nilai yang adil kepada tenaga yang disalurkan semula ke grid sambil memastikan skim itu kekal mapan dari segi kewangan untuk sistem kuasa.

 

“Pendekatan seimbang, bukannya offset penuh, akan membantu menggalakkan penerimaan tenaga boleh diperbaharui, mengekalkan keyakinan pengguna, serta menjamin kebolehpercayaan grid dalam jangka panjang,” katanya.

 

Di bawah mekanisme 1-untuk-1, satu unit tenaga yang dimasukkan ke dalam grid menolak satu unit tenaga yang digunakan dari grid, menurut Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

 

Kerajaan juga digesa mengembalikan atau memperkenalkan semula insentif pelepasan cukai pendapatan individu seperti Solaris bagi menggalakkan lebih ramai isi rumah memasang sistem PV solar, tambah Sim.

 

 

SEDA

 

 

Seruannya hadir ketika kadar pemasangan sistem solar semakin pesat sejak dua tahun kebelakangan ini, khususnya selepas pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), menurut data MPSEA.

 

Dari 2023 hingga pertengahan 2025, data Suruhanjaya Tenaga menunjukkan kapasiti terpasang PV solar mencecah 5,284MW, meningkat daripada 4,374.6MW pada 2024.

 

“Ini peningkatan lebih 900MW hanya dalam tempoh setahun, didorong oleh projek utiliti berskala besar serta solar agihan,” kata MPSEA.

 

Bagi fasiliti berskala besar, program LSS5 memperuntukkan 2,000MW untuk siap menjelang 2026.

 

Inisiatif ini dilengkapkan dengan projek solar terapung dan hibrid hidro-solar seperti fasiliti 60MW Danau Tok Uban dan projek perintis 30MW TNB di empangan Chenderoh.

 

Data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan antara 2024 hingga S1 2025, projek tenaga boleh diperbaharui menarik pelaburan RM3.24 bilion melibatkan 1,255 projek, dengan solar menjadi penyumbang utama.

 

Sehingga Julai 2025, kapasiti terpasang PV solar Malaysia berjumlah 5,284MW, menjadikannya penyumbang terbesar kepada campuran tenaga boleh diperbaharui negara.

 

Kapasiti ini mampu menjana sekitar 8.3 hingga 9.3 terawatt jam elektrik bersih setahun, menurut MPSEA.

 

“Dari segi pekerjaan, projek perintis Fasa 1 NETR telah mewujudkan sekitar 23,000 pekerjaan hijau di seluruh negara.

 

 

SEDA

 

 

Bagi tempoh 2024 hingga S1 2025 sahaja, projek tenaga boleh diperbaharui telah membuka 5,300 peluang pekerjaan,” kata kumpulan itu.

 

Namun, industri terus berdepan cabaran.

 

“Kos permulaan masih menjadi penghalang utama bagi banyak isi rumah dan PKS. Walaupun rebat serta model pajakan membantu, ia belum cukup menutup jurang,” kata MPSEA.

 

Kerajaan boleh mempercepatkan lagi penerimaan dengan memperluas sokongan pembiayaan, mempercepat kelulusan permit, melabur dalam infrastruktur grid dan penyimpanan tenaga, serta menggiatkan kempen kesedaran berterusan.

 

“Penggandaan skim pembelian tenaga boleh diperbaharui korporat seperti CRESS (Corporate Renewable Energy Supply Scheme) dan membolehkan perdagangan tenaga hijau rentas sempadan di bawah Enegem (Energy Exchange Malaysia) juga akan merangsang lebih banyak permintaan terhadap solar,” tambahnya. - DagangNews.com