KUALA LUMPUR 16 April - Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab ke atas akhbar Sin Chew Daily yang menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak sempurna pada penerbitan muka depannya.
KDN dalam kenyataan hari ini berkata, turut menyatakan kementerian telah memulakan siasatan serta-merta dengan memanggil wakil Sin Chew Daily berhubung perkara itu.
Tindakan tersebut berpandukan kepada dua perundangan yang berkaitan iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].

"Perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan.
"Selain itu, perbuatan ini juga bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk," katanya.
TERBAHARU: Selapas Sin Chew, MCMC siasat Kwong Wah siar gambar Jalur Gemilang tidak sempurna
Menurut KDN, pihaknya tidak sesekali berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak cuai dalam menerbitkan apa-apa hasil penerbitan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam sepertimana diperuntukkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
"Tindakan penguatkuasaan yang tegas atas kesalahan terhadap kedua-dua akta yang berkuat kuasa akan dipertimbang sewajarnya selepas siasatan dilengkapkan," ujar KDN.
ARTIKEL BERKAITAN: DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, bendera adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara yang tidak boleh dipersendakan.
Terdahulu, tindakan Sin Chew Daily dalam terbitan akhbarnya di muka hadapan yang memaparkan bendera Jalur Gemilang tanpa bulan sabit mengundang kritikan dan kemarahan pelbagai pihak yang menganggapnya tindakan menghina bendera negara.
Sin Chew membuat permohonan maaf dalam kenyataan sambil menyifatkan ia disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan. - DagangNews.com








