KUALA LUMPUR 15 Ogos - IJM Corporation Bhd (IJM) melalui anak syarikat milik penuhnya, IJM Construction Sdn Bhd, telah memperoleh kontrak bernilai RM1.4 bilion untuk membina pusat data berskala besar di Johor Bahru — projek pusat data terbesar pernah dipegang syarikat itu setakat ini.
Projek ini menandakan kali keempat IJM Construction terlibat dalam pembinaan pusat data di Johor. Identiti pelanggan tidak didedahkan dalam kenyataan kumpulan itu pada Jumaat.
Kontrak berkonsepkan fast-track ini merangkumi pembinaan pusat data setinggi enam tingkat dengan kemudahan pejabat bersepadu, selain sebuah fasiliti pelupusan dan kitar semula sisa.
Projek ini meningkatkan jumlah buku pesanan IJM Corp kepada RM9.2 bilion, berbanding RM7.6 bilion pada akhir Mac 2025.
Dengan keluasan lantai kasar kira-kira 62,000 meter persegi, IJM Construction akan melaksanakan keseluruhan kerja awam dan struktur menggunakan sistem pra-tuang — termasuk tiang, rasuk serta papak berteras berongga — yang dipadankan dengan struktur keluli untuk pemasangan loji mekanikal dan elektrik (M&E).
Projek ini dijadualkan siap pada September 2026 dengan tempoh penyerahan 13 bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corp, Datuk Lee Chun Fai berkata, projek ini mencerminkan keupayaan IJM Construction untuk menyampaikan kemudahan berteknologi tinggi dan berspesifikasi rumit dalam tempoh masa yang singkat.
“Dengan memanfaatkan kekuatan teras kami dalam penyampaian struktur dan pelaksanaan projek, kami mampu memenuhi keperluan pasaran pusat data hiperskala hari ini dari segi kepantasan, kualiti dan kebolehkembangan,” katanya.
Beliau menambah, lonjakan teknologi kecerdasan buatan (AI), perkhidmatan awan dan pengkomputeran berketumpatan tinggi mendorong pelaburan rekod dalam infrastruktur digital Malaysia. Kedudukan Johor sebagai hab strategik serantau menjadikan projek-projek sebegini penting, dan IJM Corp berada dalam kedudukan terbaik untuk menyediakan kapasiti serta prestasi yang diperlukan pengendali.
Pada penutupan dagangan Jumaat, saham IJM meningkat tiga sen atau 1.04% kepada RM2.92, dengan modal pasaran bernilai RM10.65 bilion. - DagangNews.com








