IHH Healthcare tampilkan identiti korporat baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IHH Healthcare tampilkan identiti korporat baharu

KUALA LUMPUR 28 Ogos - IHH Healthcare Bhd (IHH) telah melancarkan identiti korporat baharu sebagai sebahagian daripada usaha menyatukan rangkaian hospitalnya dan memperkukuh peranan dalam sektor penjagaan kesihatan.

 

Kumpulan yang mengendalikan jenama hospital termasuk Gleneagles, Pantai, Fortis, Acibadem dan Mount Elizabeth itu turut memperkenalkan slogan baharu “Care. For Good” bagi mencerminkan arah tuju yang diperbaharui.

 

“Ia menegaskan lagi komitmen IHH terhadap penjagaan bersepadu dan berasaskan nilai melalui inovasi, kerjasama dan sinergi yang meningkatkan hasil serta kecekapan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

 

Seiring dengan penjenamaan semula ini, IHH turut menganjurkan persidangan kepimpinan sulung FutureHealth.Now di Kuala Lumpur hari ini.

 

“Acara utama ini menghimpunkan lebih 300 pemimpin berwawasan daripada sektor penjagaan kesihatan, kerajaan dan perniagaan untuk sesi perbincangan mengenai hala tuju masa depan penjagaan kesihatan,” jelasnya.

 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang merasmikan majlis tersebut berkata, penyedia swasta seperti IHH bukan sahaja memberikan rawatan, malah turut mencipta peluang pekerjaan, merangsang pelaburan, memacu inovasi serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab kesihatan serantau.

 

“Yang sama penting, hospital swasta membantu mengurangkan kesesakan dalam sistem awam dengan menyerap jumlah pesakit, menawarkan perkhidmatan kepakaran serta mengurangkan masa menunggu bagi mereka yang memerlukan akses rawatan lebih cepat,” katanya.

 

Persidangan itu turut membincangkan cabaran utama dalam penjagaan kesihatan melalui empat sesi panel yang memberi tumpuan kepada penjagaan berasaskan nilai, penjagaan bersepadu, penjagaan masa depan dan penjagaan lestari.

 

IHH berkata transformasi jenama korporat ini dilaksanakan dengan kerjasama operasi tempatan di pasaran utama bagi menangani inflasi perubatan, meningkatkan akses serta memperkukuh kualiti penjagaan kesihatan.

 

Kumpulan itu turut menekankan sumbangannya terhadap reformasi kesihatan di Malaysia melalui usaha mempromosikan penjagaan berasaskan nilai serta bekerjasama dengan agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan dan syarikat insurans untuk mencari penyelesaian jangka panjang yang mengimbangi kemampuan dan kualiti.

 

“Melalui program hasil berasaskan nilai di seluruh kumpulan, IHH memantau lebih 360 indikator kualiti merentasi lapan prosedur berimpak tinggi dengan matlamat mengurangkan kos perubatan yang tidak perlu, sambil mengekalkan standard rawatan perubatan yang tinggi,” tambah kenyataan itu. - BERNAMA