KUALA LUMPUR 7 Mei — I-Berhad memulakan tahun kewangan 2025 dengan mencatat prestasi keuntungan bersih semasa suku pertama yang berakhir 31 Mac 2025 sebanyak RM9.96 juta, kira-kira 140 peratus lebih berbanding RM4.07 juta pada 1QFY24.
Perolehan sesaham suku tahunan turut melonjak 0.54 sen daripada 0.22 sen sebelumnya, manakala hasil mencecah RM62.06 juta, berbanding RM40.63 juta pada 1QFY24 yang menggambarkan permulaan kukuh perniagaan yang lebih seimbang dan dipacu aset.
Prestasi kukuh ini disokong sumbangan mantap daripada tiga segmen utama perniagaan kumpulan iaitu pembangunan hartanah, pelaburan hartanah, serta riadah dan hospitaliti, dengan aliran tunai yang stabil mengesahkan hala tuju jelas syarikat berkenaan.
Kumpulan tersebut berkata, sepanjang tahun lalu, ia memberikan fokus kepada pembinaan model perniagaan berasaskan aset yang lebih berdaya tahan dan mampan dengan pendekatan semakin relevan dalam persekitaran global tidak menentu pada ketika itu.
"Segmen riadah dan hospitaliti menyumbang RM26.40 juta hasil 1QFY25, dan kekal sebagai penyumbang utama dengan banyak aset terus mengukuh strategi I-Berhad mengoptimumkan nilai portfolio yang berteraskan premium," katanya dalam satu kenyataan.
Ini meliputi Hotel Wyndham Garden i-City yang dijenamakan semula daripada Best Western Hotel, apabila mencatat kadar penghunian sihat dalam suku penuh pertama operasi bersama sumbangan oleh DoubleTree by Hilton i-City dan Wyndham Suites KLCC.
Segmen pembangunan hartanah pula katanya, menunjukkan pemulihan apabila mencatatkan hasil sebanyak RM28.36 juta dan keuntungan sebelum cukai RM4.62 juta, berbanding kerugian RM2.23 juta direkodkan dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Peningkatan ini dijana permintaan berterusan terhadap unit di BeCentral dan pelancaran akan datang bagi kediaman yang berjenama di i-City Finance Avenue dengan jualan belum dibilkan sehingga 31 Mac 2025 telah mencecah sebanyak RM89.2 juta.
Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, keputusan kewangan itu mencerminkan transformasi syarikat ke arah perniagaan lebih seimbang dan berasaskan aset setelah selesai penstrukturan semula enjin pertumbuhan I-Berhad sendiri.
“Sepanjang 2024, kami telah mewujudkan ekosistem yang mampu menjana pendapatan berulang daripada aset sedia ada dan prestasi yang kita lihat ini membuktikan strategi itu berjaya dengan pendapatan bersifat meluas," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, segmen pelaburan hartanah menyumbang sebanyak RM6.66 juta hasil dan RM5.28 juta keuntungan sebelum cukai, peningkatan 42 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan beberapa aset mencatatkan tahap penghunian yang tinggi.
Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai bagi segmen riadah dan hospitaliti menyusut kepada RM2.97 juta berbanding RM4.16 juta tahun sebelumnya, didorong oleh faktor bermusim ketika Ramadan serta pelaksanaan awal bagi produk-produk baharu dilancarkan.
Kumpulan itu kata Kim Hong, menjangkakan prestasi akan bertambah baik pada suku kedua 2025, disokong oleh peningkatan pelancongan domestik semasa cuti sekolah serta usaha berterusan dalam pengoptimuman hasil di keseluruhan portfolio hotel.
Melangkah ke hadapan, I-Berhad katanya, akan menumpukan kepada pembangunan secara berfasa, kecekapan operasi, dan pengukuhan penyewaan komersial terutama dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berbaki sebanyak RM5 bilion di i-City sendiri.
"Kami akan melancarkan projek-projek baharu mengikut masa yang sesuai bagi memaksimumkan nilai dan menyesuaikan dengan keadaan pasaran selain giat melakukan aktiviti bersempena Tahun Melawat Selangor 2025 dan seterusnya Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya. - DagangNews.com








