HRD Corp umum pelantikan Dr Syed Alwi Mohamed Sultan sebagai Ketua Eksekutif baharu  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HRD Corp umum pelantikan Dr Syed Alwi Mohamed Sultan sebagai Ketua Eksekutif baharu 

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Julai – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) mengumumkan pelantikan Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan, 51, sebagai Ketua Eksekutif baharu berkuat kuasa pada hari ini, 21 Julai 2025.

 

Dr. Syed Alwi memiliki lebih 27 tahun pengalaman dalam kepimpinan strategik merentas sektor perkhidmatan kewangan, teknologi perbankan dan perundingan pengurusan.

 

Menurut HRD Corp, sepanjang kerjayanya, beliau telah berjaya memacu pertumbuhan organisasi, memperkukuh institusi kewangan serta memperkenalkan penyelesaian inovatif dan berfokuskan masa depan yang sejajar dengan strategi kewangan jangka panjang bagi memberikan impak yang mampan.

 

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan BNP Paribas Malaysia Berhad (Perbankan Islam), Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMPSA Holdings Sdn. Bhd.

 

 

HRD Corp

 

 

Sepanjang kerjayanya, Dr. Syed Alwi juga turut menyandang beberapa jawatan kanan di institusi kewangan terkemuka peringkat global dan serantau serta memainkan peranan penting dalam mencapai kecermelangan operasi secara pantas serta meningkatkan nilai kepada pihak berkepentingan.

 

Antara pelantikan utama beliau termasuk di Standard Chartered Saadiq, The Islamic Bank of Asia (Singapura), HL Bank (Singapura) dan MRANTI Corporation.

 

Dr. Syed Alwi berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Kewangan dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di mana beliau menerima Anugerah Rektor.

 

Beliau juga turut memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) kelas pertama dalam Kewangan Islam dari UIAM dan  menamatkan Program Fintech Oxford di Saïd Business School, University of Oxford.

 

Sepanjang perkhidmatannya, Dr. Syed Alwi telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh prestasi operasi dan mencipta nilai kepada pihak berkepentingan, sekaligus menerima pengiktirafan atas sumbangannya dalam transformasi korporat. - DagangNews.com