KUALA LUMPUR 14 Mac - Kerajaan sedang memuktamadkan dasar baharu mewajibkan kemudahan penjagaan kesihatan dan farmasi komuniti memaparkan harga ubat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Cadangan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) telah dibentangkan pada Majlis Tindakan Kebangsaan Mengenai Kos Sara Hidup (Naccol) pada 3 Okt 2023 dan disusuli dengan pembentangan Memorandum Bersama Kabinet dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan pada Mesyuarat Kabinet pada 8 Jan 2025.
"Memaparkan harga ubat membolehkan orang ramai membandingkan harga dan merancang perbelanjaan," kata Armizan dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, pemaparan harga ubat akan dikuatkuasakan melalui Perintah yang dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723).
“Seksyen 10 AKHAP memperuntukkan kuasa Menteri untuk menghendaki barangan atau perkhidmatan ditandakan dengan harga, termasuk bentuk dan cara maklumat itu perlu disediakan melalui perintah yang disiarkan dalam Warta,” kata beliau.
"Perintah itu dilihat mampu mengekang kadar inflasi perubatan negara yang tinggi.
“Secara perbandingan, kadar inflasi perubatan Malaysia untuk 2025 diunjurkan pada 15%, lebih tinggi daripada kadar purata 10% untuk Asia Pasifik dan 11% untuk purata global.
“Kita amat berharap perintah ini dapat dikuatkuasakan secepat mungkin dan mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan bahawa arahan untuk paparan harga ubat akan berkuat kuasa Mei tahun ini,” kata Armizan. - DagangNews.com








