KUALA LUMPUR 18 Julai - Honda Malaysia melancarkan HR-V yang dikemas kini, versi diperbaharui bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B bukan nasional yang paling laris di negara ini.
Model baharu ini menampilkan rekaan luaran yang diperbaharui, ruang dalaman yang lebih praktikal, sambungan digital yang ditambah baik serta ciri keselamatan yang dipertingkatkan bagi semua varian.
HR-V baharu ditawarkan dalam empat varian dengan harga atas jalan (tidak termasuk insurans) seperti berikut:
e:HEV RS – RM143,900
V – RM137,900
E – RM130,900
S – RM115,900
Dengan permintaan terhadap SUV yang terus meningkat, Honda Malaysia yakin bahawa HR-V baharu ini akan menetapkan penanda aras baharu pada masa akan datang.
Melengkapi reka bentuknya yang menarik, HR-V baharu kini ditawarkan dalam dua warna baharu — Phoenix Orange Pearl yang terang dan Crystal Black Pearl yang elegan.
Pilihan warna lain termasuk Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic dan Stellar Diamond Pearl.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, HR-V baharu merupakan evolusi berani bagi SUV kegemaran rakyat Malaysia.
Ia menggabungkan elemen sukan, inovasi dan praktikaliti pintar untuk memenuhi keperluan pemandu SUV masa kini.
Beliau menambah, dengan lebih 170,000 unit telah terjual sejak ia diperkenalkan pada 2015, dan menguasai 41 peratus pasaran dalam segmen B-SUV bukan nasional, HR-V telah mentakrifkan semula apa yang sepatutnya menjadi sebuah SUV kompak.
“Pelancaran ini juga merupakan satu pencapaian penting sempena ulang tahun ke-21 kepimpinan teknologi hibrid Honda di Malaysia, satu perjalanan inovasi dan komitmen terhadap mobiliti lestari.
“Kami yakin bahawa HR-V baharu ini akan terus menjadi teman yang tiada tandingan, memberi inspirasi kepada kebebasan baharu dan mencipta detik-detik yang akan anda hargai selamanya.”
Dari segi reka bentuk, HR-V baharu hadir dengan gril hadapan baharu yang disepadukan bersama lampu utama LED penuh dengan Active Cornering Light, serta jalur lampu belakang LED penuh yang memberikan penampilan moden dan berkeyakinan di jalan raya.
Semua varian kini dilengkapi rim aloi dua tona 18 inci untuk penampilan yang lebih berani.
Varian e:HEV RS turut menerima Pakej RS yang sporty untuk gaya yang lebih berinspirasikan prestasi.
Di bahagian dalam, SUV ini menawarkan kabin yang lebih halus dan praktikal dengan fokus kepada keselesaan dan kemudahan penggunaan. Varian e:HEV RS hadir dengan tempat duduk sporty timbul logo RS.
Konsol tengah yang direka semula kini menampilkan pengecas tanpa wayar, manakala Paparan Audio 8 inci terapung baharu memberikan penglihatan yang lebih baik dan penggunaan lebih mudah.
Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar kini standard bagi semua varian, bersama port USB-C di hadapan dan belakang.
Sistem Penyebaran Udara Honda membantu mengekalkan aliran udara yang selesa di dalam kabin.
Walaupun bersaiz SUV kompak, HR-V baharu menawarkan ruang dalaman yang luas dan keselesaan setanding dengan kenderaan segmen lebih tinggi, sesuai untuk pemandu dan penumpang.
HR-V baharu menawarkan tiga pilihan rangkaian kuasa bagi memenuhi pelbagai gaya pemanduan:
1.5L DOHC i-VTEC Petrol: Menjana 121PS dan 145Nm, sesuai untuk pemanduan harian yang praktikal dan cekap.
1.5L VTEC Turbocharged: Menjana 181PS dan 240Nm untuk pemanduan yang lebih dinamik dan responsif.
1.5L e:HEV Hybrid: Menjana 131PS dan 253Nm, menggabungkan prestasi hibrid yang mantap dengan peralihan lancar antara mod EV, Hibrid dan Enjin.
Dari aspek keselamatan dan sambungan, Honda Sensing kini standard bagi semua varian, termasuk ciri Adaptive Driving Beam.
Honda CONNECT turut diperluas kepada varian S dan E, menjadikan ciri kereta terhubung lebih mudah diakses oleh lebih ramai pemandu. - DagangNews.com








