Hextar Healthcare catat kerugian bersih RM31.4 juta Q4FY25, optimis prospek masa depan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hextar Healthcare catat kerugian bersih RM31.4 juta Q4FY25, optimis prospek masa depan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Feb – Hextar Healthcare Berhad mencatat kerugian bersih sebanyak RM31.4 juta pada suku keempat tahun kewangan 2025, berbanding kerugian RM8.0 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, menurut laporan kewangan terkini Kumpulan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, hasil bagi suku tersebut berjumlah RM35.5 juta, sedikit menurun berbanding RM41.6 juta pada suku keempat 2024.

 

"Bagi keseluruhan tahun kewangan, HHB mencatat hasil RM148.1 juta, sedikit meningkat daripada RM147.0 juta, namun kerugian bersih tahunan meningkat kepada RM45.0 juta berbanding RM13.9 juta tahun sebelumnya, dengan kerugian sesaham meningkat kepada 4.1 sen berbanding 1.3 sen," katanya dalam kenyataan itu.

 

HHB menjelaskan tahun kewangan lalu mencabar bagi industri sarung tangan dan penjagaan kesihatan akibat permintaan pasaran yang lembap, kadar penggunaan kilang yang rendah serta Ringgit yang kukuh berbanding Dolar AS.

 

Tambahan pula katanya, kumpulan merekodkan pelarasan aset cukai tangguh sebanyak RM10.7 juta dan kerugian susut nilai pelaburan RM11.6 juta bagi suku kewangan semasa.

 

Pengarah Urusan Mr. Khoo Chin Leng berkata, walaupun menghadapi permintaan dan harga lembap serta ketidaktentuan global, langkah proaktif yang diambil kumpulan akan membuka jalan kepada prestasi yang lebih baik dalam jangka panjang.

 

"Kami yakin pasaran sarung tangan akan pulih secara berperingkat dan tetap komited untuk menempatkan diri sebagai peneraju dalam industri penjagaan kesihatan melalui inovasi dan pertumbuhan berterusan,” katanya.

 

Selain operasi sedia ada dalam sarung tangan dan peranti perubatan, HHB turut menceburi pelaburan hartanah melalui Hextar World at Empire City yang dilancarkan pada November 2025.

 

Pemegang saham terbesar kumpulan, Datuk Eddie Ong Choo Meng, berkata pelaburan itu dijangka menjadi aliran pendapatan alternatif, menawarkan gabungan hiburan, gaya hidup, pembelajaran dan budaya untuk komuniti Lembah Klang.

 

"Kami sentiasa komited memberi pulangan jangka panjang yang kukuh kepada pemegang saham," ujarnya. - DagangNews.com