Hektar REIT beli hartanah perindustrian pertama bernilai RM30 juta di Bayan Lepas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hektar REIT beli hartanah perindustrian pertama bernilai RM30 juta di Bayan Lepas

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Julai – Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) membeli hartanah perindustrian pertamanya di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, Pulau Pinang pada harga RM30 juta sebagai sebahagian daripada strategi mempelbagaikan portfolio pelaburan syarikat.

 

Pemerolehan itu adalah satu permulaan  baharu bagi Hektar REIT yang sebelum ini lebih dikenali sebagai pemilik aset runcit, sekali gus memperluaskan portfolio pelaburannya ke sektor yang berpotensi menjana pendapatan lebih stabil dalam jangka panjang.

 

Menurut Hektar REIT, pengambilalihan tersebut adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat untuk mengurangkan kebergantungan kepada sektor runcit dengan menambah pegangan dalam aset yang mempunyai permintaan tinggi.

 

Sebelum ini, Hektar REIT turut memperluaskan portfolio menerusi pemerolehan tanah bagi pembangunan kolej dan sekolah antarabangsa, manakala pembelian aset perindustrian itu menjadi satu lagi langkah penting dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatannya.

 

Dengan penyempurnaan urus niaga berkenaan, jumlah aset dalam portfolio Hektar REIT kini meningkat kepada lapan hartanah yang merangkumi pelbagai segmen.

 

t

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management, Zainal Iskandar berkata, pengambilalihan itu mencerminkan pendekatan syarikat yang berdisiplin dalam menguruskan peruntukan modal serta komitmennya membina portfolio lebih kukuh dan seimbang.

 

"Pengambilalihan ini merupakan satu pencapaian penting buat Hektar REIT. Ia menunjukkan komitmen kami untuk membina portfolio yang lebih berdaya tahan serta mampu menjana pulangan mampan kepada pemegang unit dalam jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Hektar REIT, hartanah berkenaan diperoleh pada harga yang 9.1% lebih rendah berbanding nilai pasaran yang dinilai secara bebas yang memberikan nilai tambah kepada pelaburan syarikat.

 

Selain itu, aset tersebut dijangka menawarkan kadar pulangan permulaan sebanyak 7.5% menerusi perjanjian pajakan bersih tiga kali ganda (triple net lease) iaitu semua kos berkaitan hartanah termasuk cukai, insurans dan penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh penyewa.

 

Struktur pajakan itu membolehkan Hektar REIT menikmati aliran pendapatan pasif yang stabil sepanjang tempoh pajakan selama 15 tahun dengan beban pengurusan operasi yang minimum.

 

Pada masa sama, syarikat berkata, perjanjian tersebut turut menyediakan peningkatan kadar sewa secara tetap mengikut tempoh yang dipersetujui yang akan menyokong pertumbuhan pendapatan berulang pada masa hadapan. - DagangNews.com